Ikuti laporan khas wartawan Utusan Malaysia, MOHAMAD ATHIR ISMAIL yang mengupas beberapa isu yang menjadi faktor penyumbang kepada lonjakan harga rumah sekali gus menjadi dilema kepada orang ramai untuk memiliki rumah idaman mereka.

KUALA LUMPUR 27 Jan.  -  Kewujudan kelompok kapitalis yang menjalankan pembelian kediaman secara pukal dikesan antara punca harga rumah khususnya di sekitar Lembah Klang mengalami lonjakan melampau sehingga mengakibatkan ramai pembeli tidak mampu

MUHAMAD RAIS YEOP JOHARI
MUHAMAD RAIS YEOP JOHARI 

memilikinya.

Dominasi oleh syarikat serta koperasi gergasi termasuk ahli perniagaan dalam segmen jual beli hartanah itu ibarat ‘menganiaya’ golongan berpendapatan sederhana apatah lagi rendah yang akhirnya terpaksa akur dengan kemampuan yang menjurus kepada pembelian di luar Lembah Klang atau negeri lain.

Fenomena itu bukan sesuatu yang baharu malah dialami oleh ramai individu sehingga menyaksikan mereka terpaksa menempuh perjalanan jauh untuk ke tempat kerja memandangkan kesemua harga kediaman di Lembah Klang melonjak tinggi menjangkau luar daripada kemampuan mereka.

Sungguhpun begitu, Perun­ding Hartanah Transasia Pro­perty Consultancy Sdn. Bhd., Muhamad Rais Yeop Johari menjelaskan, aktiviti pembeli­an rumah secara berskala besar oleh syarikat, koperasi atau individu bukanlah suatu kesalahan yang melanggar undang-undang.

Beliau berkata, ta­waran kepada golo­ngan tersebut juga merupakan salah satu strategi pemasaran oleh pemaju bagi melariskan serta mencapai sasaran jualan rumah dalam tempoh tertentu sekali gus dapat mengaut keuntungan dengan cepat.

‘‘Memang wujud dan lazimnya pembelian ini dilakukan untuk tujuan pelaburan bagi mengaut keuntungan besar atau ditawarkan kepada pekerja sendiri bagi syarikat atau ahli koperasi.

‘‘Rumah berkenaan tidak akan dijual dalam masa terdekat untuk mengelakkan kerugian akibat dikenakan Cukai Keuntungan Harta Tanah (CKHT) pada kadar 15 hingga 30 peratus,’’ katanya ketika ditemui Utusan Malaysia baru-baru ini.

Jelas Muhamad Rais, bagi memastikan penjanaan keuntungan besar daripada pembelian rumah secara pukal itu, kelompok terbabit akan menjualnya selepas tempoh lima tahun kerana harga pada masa itu sudah berlipat kali ganda.

‘‘Pengurangan CKHT yang perlu dibayar mendorong mereka menjualnya selepas lima tahun,” katanya.

“Jika menjual dalam masa terdekat, mereka perlu membayar cukai CKHT pada kadar 30 peratus. Maka untuk mengaut keuntungan lebih, mereka akan jual selepas lima tahun di mana kadar CKHT sekitar lima hingga 10 peratus sahaja sementara harga rumah pula sudah berlipat kali ganda,’’ jelasnya.