Beliau yang juga Penaung Permata berkata, kebanyakan mereka dibimbing oleh anggota Fakulti Sains dan Teknologi Universiti Kebangsan Malaysia (UKM).

“Dengan termete­rainya memorandum persefahaman (MoU) antara fakulti tersebut dan Jabatan Kejurute­raan Kimia dan Bioteknologi Universiti Cambridge, ia akan memanfaat pelajar berbakat Permata,” katanya pada majlis menandatangani MoU itu semalam.

Ia ditandatangani antara Ke­tua Jabatan Kejuruteraan Kimia dan Bioteknologi Universiti Cambridge, Prof. John Dennis dan Dekan Fakulti Sains dan Teknologi UKM, Prof. Dr. Sahrim Ahmad.

Yang turut hadir, Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Datuk Seri Rohani Karim; Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Azalina Othman Said; Pesuruhjaya Tinggi Malaysia ke United Kingdom, Datuk Ahmad Rasidi Hazizi; Timbalan Naib Canselor UKM, Prof. Datuk Dr. Riza Atiq Abdullah Rahmat; Pegawai Antarabangsa Universiti Cambridge, Allen Swales dan Timbalan Ketua Jabatan Kajian Universiti Cambridge, Prof. Elizabeth Hall.

Rosmah berkata, pelajar berbakat mempunyai pemikiran abstrak tahap tinggi dan kebolehan memiliki dan mengguna pakai pengetahuan dan strategi maju bagi menyelesai masalah selain menerimanya bagi tujuan mulia.

“Apabila dipupuk sejak muda, bakat mereka dapat dioptimum melepasi prestasi tahap tinggi dalam sebarang bidang,” katanya.

Beliau juga berkata, Hall yang merupakan profesor pelawat di Bengkel Minda Nobel Permata Pintar di UKM pada September lalu telah membuka peluang kepada pelajar untuk mempelajari lebih banyak mengenai bidang sains, teknologi, kejuruteraan dan matematik (STEM).

“Penglibatan beliau membolehkan pelajar yang di­pilih bagi Institut Sains melawat Cambridge sebagai sebahagian daripada program pengajian mereka,” tambahnya.

Rosmah berharap pengli­batan Hall dengan Permata Pintar akan membawa kepada kolaborasi lebih besar yang dapat mencipta peluang dan hala tuju untuk pelajar Permata memanfaat tawaran yang terdapat di Univeristi Cambridge.

Beliau berharap universiti berkenaan akan turut membantu penubuhan Pusat Kajian Permata yang akan menyediakan persekitaran paling kondusif untuk membina budaya kecemerlangan dalam kajian bagi kalangan alumni Permata. – BERNAMA