Menurut Ketua Kampung Thamer, Scten Meen, pembinaan masjid tersebut adalah hasil usaha yang dilakukan Ketua Pertubuhan Bukan Kerajaan (NGO) Antarabangsa, Datuk Dr. Mustapha Ahmad Marican bagi memberi kemudahan khususnya kepada penduduk Islam di kampung tersebut.

Katanya, masjid yang bakal dibina itu mempunyai keluasan 8,093.71 meter persegi sekali gus mampu menampung kira-kira 800 jemaah lelaki dan perempuan dalam satu masa.

“Kampung ini amat memerlukan sebuah masjid kerana kami sudah menetap di sini lebih 20 tahun lalu dan selama ini hanya menggunakan balai raya komuniti untuk majlis tertentu yang turut dijadikan kelas tadika Islam buat sementara waktu.

“Kehadiran sebuah masjid ini dilihat dapat mengeratkan hubungan sesama penduduk di samping mampu menjadikan kampung ini hidup dengan pelbagai aktiviti kemasyarakatan seperti ceramah agama, urusan perkahwinan, kematian dan sebagainya,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

Meen menambah, pihaknya merancang untuk membuka tadika Islam bagi pendidikan anak-anak untuk mempelajari ilmu al-Quran apabila masjid berkenaan siap dibina.

“Kami ingin merakamkan ucapan terima kasih dan penghargaan yang tertinggi buat beliau (Mustapha) yang begitu komited dalam membantu penduduk kampung ini khususnya pembinaan masjid, surau, sekolah tahfiz, perigi, kemudahan jalan raya serta tanah perkuburan.

“Sumbangan beliau ini mampu mengangkat martabat masyarakat Islam daripada aspek pembangunan Islam, pendidikan dan ekonomi,” ujarnya. - UTUSAN ONLINE