Itu reaksi Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad ketika ditanya mengenai keselamatan penumpang yang akan menggunakan khidmat e-hailing itu. 

Dr. Mahathir berkata, pelaksanaan perkhidmatan teksi motosikal di negara ini dapat membantu pengusaha tempatan yang menjalankan perniagaan kecil. 

 "Jika Go-Jek datang ke sini, ia akan memberi manfaat kepada peniaga kecil," katanya. 

Mengulas bantahan sesetengah pihak, beliau berkata, sesuatu dasar atau pendekatan yang ingin dilaksanakan kerajaan akan ada tentangan daripada mana-mana pihak.

"Iyalah ada yang tak puas hati. Sesetengah pihak akan menentang tetapi kita mahu tahu ia memberi manfaat kepada negara atau sebaliknya," katanya.

Menteri Belia dan Sukan, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman menerusi akaun Instagram beliau semalam memaklumkan, Kabinet sebulat suara meluluskan modal ekonomi Go-Jek atau Dego Ride.

Menurut Syed Saddiq, selain memberi peluang pekerjaan kepada mat motor, pelaksanaan perkhidmatan teksi motosikal, Go-Jek atau Dego Ride turut bertujuan membantu usahawan muda. - UTUSAN ONLINE