Menteri Pengangkutan, Anthony Loke Siew Fook berkata, ketika ini terdapat 1,000 kekoso­ngan pelbagai jawatan di JPJ dan kekosongan itu akan diisi oleh kakitangan tetap SPAD yang telah dibubarkan semalam.

Beliau berkata, kakitangan SPAD ketika ini boleh meneruskan kerja seperti biasa namun peranannya akan diambil alih oleh kementerian melalui JPJ dan sekiranya berlaku pertindihan, perkara tersebut akan dilihat semula selepas ini.

“Kakitangan SPAD tidak perlu membuat sebarang permohonan baharu kerana mereka diserap serta-merta. Tiada individu yang hilang pekerjaan kerana Pakatan Harapan adalah kerajaan yang prihatin dan bertangungjawab.

“Sekarang JPJ mempunyai 8,000 perjawatan dengan 1,000 kekosongan lagi. Jadi kira-kira 800 kakitangan tetap SPAD akan diserap ke jabatan itu serta-merta,” katanya dalam sidang akhbar di sini hari ini.

Yang turut hadir Ketua Setiausaha kementerian, Datuk Seri Saripuddin Kasim dan Ketua Pe­ngarah JPJ, Datuk Shaharuddin Khalid.

Semalam, Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad me­ng­umumkan pembubaran SPAD dan tugas-tugas yang dijalankan suruhanjaya itu sebelum ini di kembalikan kepada Kementerian Pengangkutan.

Selain SPAD, turut dibubarkan ialah Jabatan Hal Ehwal Khas (Jasa), Majlis Profesor Negara (MPN) dan Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung Persekutuan (JKKKP) di seluruh negara.

Dalam pada itu katanya, JPJ pada tahun lalu menjadi salah satu agensi tertinggi yang me­nyumbangkan hasil kepada negara iaitu sebanyak RM4 bilion.

“Hasil itu diperolehi melalui pembaharuan lesen, insuran kenderaan serta jualan nombor pendaftaran kenderaan istimewa melalui tender,” katanya.