Menteri Kewangan, Lim Guan Eng berkata, kajian itu dilakukan bersama dengan Kementerian Kerja Raya untuk melihat daripada segi kesan dan impaknya.

Berkaitan pengambilan empat konsesi tol di bawah Gamuda, beliau berkata, situasi itu berlainan daripada lebuh raya lain yang terdapat di negara ini.

"Ada tiga faktor iaitu pertama adalah ia dimiliki oleh sebuah syarikat konsesi iaitu Gamuda dan keduanya, semuanya terletak dalam kawasan bandar raya.

"Lagi satu sebab adalah ia yang disyorkan oleh pihak mereka, di sini menunjukkan tiada unsur paksaan kerana rundingan antara kerajaan dan syarikat adalah dilakukan secara baik dan profesional," katanya dalam sidang akhbar selepas menyempurnakan Majlis Sambutan Hari Hasil 2019 di Menara LHDN di sini hari ini.

Pada masa sama, Guan Eng meminta semua pihak termasuk media agar tidak membuat sebarang spekulasi berhubung cadangan pengambilan empat lebuh raya daripada Gamuda.

Menurut beliau, perkara itu perlu diselesaikan oleh bertanggungjawab yang terlibat dalam proses pengambilan tol berkenaan yang dijangka mengambil masa enam bulan.

"Saya tidak ingin bicara soal ini kerana ia melibatkan soal faedah dan kadar saham, biarlah diselesai dalam enam bulan dan sekali gus dapat mengurangkan kesan sampingan," katanya.

Kerajaan sebelum ini memaklumkan memulakan proses rundingan dengan Gamuda untuk kerajaan mengambil alih konsesi keempat-empat lebuh raya iaitu syarikat tersebut mempunyai pegangan majoriti.

Lebuh raya berkenaan ialah Lebuhraya Damansara Puchong (LDP), Sistem Penyuraian Trafik KL Barat (Sprint), Lebuh Raya Shah Alam (Kesas) dan Tero­wong Smart.- UTUSAN ONLINE