Yang Dipertua PUM, Datuk Al-Syeikh Abdul Halim Abdul Kadir berkata, tindakan boleh diambil menggunakan peruntukan sedia ada yang boleh menangani isu tersebut.

“Peruntukan undang-undang sudah jelas iaitu mereka di bawah umur yang ingin berkahwin perlu mendapat kebenaran daripada Mahkamah Syariah. Begitu juga mereka yang ingin berpoligami juga perlu mendapat kebenaran daripada Mahkamah Syariah.

“Walaupun ada maklumat menyatakan budak tersebut merupakan warganegara Thailand, kami yakin kerajaan Malaysia boleh menggunakan perundangan semasa kedua-dua belah pihak untuk berdepan perkara ini,” katanya dalam satu kenyataan di sini, hari ini.

Al-Sheikh Abdul Hali menambah, peruntukan undang-undang keluarga Islam mungkin sudah memadai untuk melindungi dan memelihara kebajikan kanak-kanak perempuan terbabit, namun dari sudut pelaksanaan khususnya peraturan sedia ada juga mestilah kelihatan jelas mampu mengelakkan mana-mana pihak daripada menjadi mangsa eksploitasi atas nama syariat Islam.

Sehubungan itu katanya, semakan menyeluruh boleh dilakukan oleh kerajaan bagi memastikan ia benar-benar memberikan jaminan keadilan kepada semua.

“Sekiranya perlu, maka kerajaan boleh membuat rombakan atau penambahan kepada mana-mana peruntukan yang ada.

“Di samping itu, program-program kesedaran kepada rakyat Malaysia mengenai proses nikah dan cerai harus diperkasakan agar rakyat memahami soal ini mengikut hukum hakam dan perundangan yang sedang berkuat kuasa,” katanya.

Beliau menjelaskan, kes tersebut perlu diambil tindakan semoga menjadi pengajaran kepada seluruh masyarakat dan dapat meredakan kegelisahan orang ramai. - UTUSAN ONLINE