Pengerusi Lembaga Kemajuan Pertanian Kemubu (KADA), Datuk Husam Musa berkata, pada masa ini, negara ini dikatakan terpaksa mengimport makanan ternakan ruminan sehingga RM4 bilion setahun atau lebih sedangkan mempunyai potensi untuk membangunkannya sendiri.

 Beliau berkata, pihak KADA sendiri baru memulakan inisiatif dengan menggusahakan satu tapak kandang lembu terbiar di Melor di sini dengan menanam pelbagai jenis tanaman makanan ternakan ruminan termasuklah indigofera dan ketum ayam.

 "Kita akan bangunkan ternakan lembu wagyu sebanyak 20 ekor sebagai percubaan dengan penanaman makanan ruminan yang pelbagai. Kita mahu cuba makanan ruminan yang sesuai dan jika berjaya kita berharap petani kita dapat digalakkan dengan penanaman ini untuk meningkatkan pendapatan.

 "Saya juga tertarik dengan projek penanaman jagung manis oleh Institut Penyelidikan dan Kemajuan Pertanian Malaysia (MARDI) di Kampung Pering, Kedah yang boleh dijadikan model di Kelantan, di sana bukan sahaja hasilkan jagung segar dan produk berasaskan jagung tetapi juga silaj iaitu makanan ruminan secara jeruk," katanya selepas merasmikan Seminar Teknikal MARDI - KADA di Auditorium KADA di Lundang di sini hari ini.

 Yang turut hadir, Ketua Pengarah MARDI, Datuk Dr. Mohamad Roff Mohd. Nor dan Pengurus Besar KADA, Nik Roslan Idris.

 Seminar sehari itu bagi berkongsi kepakaran MARDI kepada pegawai dan ejen pengembangan KADA termasuk berkaitan tanaman padi, tanaman bukan padi dan ternakan serta teknologi industri asas tani.

 Terdahulu, Husam dalam ucapannya berkata, industri daging dunia sangat besar dan negara ini perlu memanfaatkan potensi yang dimiliki.

 "Jepun contohnya terkenal sebagai pengeksport daging lembu terbaik biarpun ia bukan pengeluar padi atau jagung untuk makanan ruminan.

 "Di sinilah peluang kita muncul sebagai pengusaha makanan ruminan untuk membekalkannya kepada keperluan dunia," katanya.

 Sementara itu, Mohamad Roff berkata, pihaknya sedang menunggu kelulusan peruntukan di bawah Kementerian Tenaga, Sains, Teknologi, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim (MESTEC) supaya projek penanaman jagung manis seperti di Kampung Pering, Kedah yang melibatkan kawasan lebih 40 hektar itu dapat dilaksanakan di salah satu kawasan di bawah KADA. - UTUSAN ONLINE