Penggabungan itu dilihat sebagai salah satu transformasi penyampaian pendidikan tinggi terutamanya dalam memantapkan keupayaan universiti untuk mempertingkat kedudukan sosioekonomi.

Malah, Pejabat Ketua Pengarah Pendidikan Tinggi dalam satu kenyataan memberitahu, ia selaras dengan lonjakan 10 Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia 2015 - 2025 (Pendidikan Tinggi).

Menurutnya, inisiatif berkenaan juga akan memacu pembangunan industri negeri Terengganu di samping menangani persaingan sesama universiti untuk mendapatkan pelajar, kakitangan dan sumber.

"Penggabungan institusi merupakan satu langkah yang wajar dilaksanakan bagi mempertingkatkan kualiti perkhidmatan dan memberi lebih nilai tambah kepada pelajar, fakulti serta komuniti setempat melalui penjajaran semula tenaga kepakaran universiti dan kemudahan infrastruktur sedia ada yang boleh diguna pakai.

"Perkara ini telah dilaksanakan oleh universiti dan kolej di beberapa buah negara, antaranya University of Manchester dan University of Manchester Institute of Science & Technology (UMIST) di United Kingdom," katanya di sini hari ini.

Penggabungan institusi juga tambahnya, berlaku di Australia dan Amerika Syarikat yang mana penggabungan institusi pendidikan tinggi dilaksanakan untuk meningkatkan tahap keberkesanan, jangkauan, nilai dan daya saing sesebuah institusi baharu.

Jelasnya, kementerian amat positif dengan cadangan penggabungan ini dan kini sedang menyediakan kerangka bagi pelaksanaannya.

"Sebuah Jawatankuasa khas sedang dibentuk yang dianggotai oleh wakil dari kalangan pegawai pentadbir, pensyarah, pelajar, serta juga wakil dari pelbagai agensi, kementerian dan pihak berkepentingan bagi menggerakkan penggabungan ini yang dijangka akan mengambil masa selama enam bulan," katanya. - UTUSAN ONLINE