Menteri Kewangan, Lim Guan Eng berkata, fasa kedua PKPS dengan pengenaan kadar penalti 15 peratus daripada amaun cukai yang dikenakan pula akan bermula pada 1 Julai depan dan tamat pada 30 September depan.

"Kementerian Kewangan Malaysia ingin memaklumkan bahawa sehingga 31 Mac lalu, sejumlah 381,979 pengakuan sukarela telah diterima oleh Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN)," katanya di sini hari ini.

Jelas Guan Eng, mulai 1 Oktober depan, kadar penalti daripada 45 peratus ke atas akan dikenakan bagi mana-mana kesalahan tidak mengemukakan borang nyata cukai pendapatan (BNCP) dan juga kesalahan kurang melaporkan cukai pendapatan.

Menurut beliau, PKPS memberikan fokus utama kepada pembayar cukai yang mempunyai akaun bank di luar negara serta mempunyai pendapatan yang dijana dari dalam Malaysia tetapi masih belum melaporkannya kepada LHDN.

Pada masa sama tambahnya, kerajaan juga mengalu-alukan mana-mana pembayar cukai tempatan yang tidak mempunyai akaun bank di luar negara untuk membuat apa juga pengakuan secara sukarela berhubung pendapatan yang berpunca dari dalam Malaysia dan masih belum dilaporkan sekiranya ada.

"Kerajaan berharap dengan pelanjutan tempoh yang diberikan ini, lebih ramai pembayar cukai akan menyertai PKPS bagi membolehkan mereka menikmati kadar penalti yang rendah dan seterusnya dapat mengurangkan bebanan cukai mereka," katanya.

Jelasnya, pengakuan sukarela bagi pembayar cukai kategori individu boleh dibuat sehingga pendapatan tahun berakhir 31 Disember 2017 manakala bagi pembayar cukai kategori syarikat pula, pengakuan sukarela boleh dibuat bagi pendapatan sehingga tempoh perakaunan 31 Mac 2018.

LHDN juga ujarnya, telah mematuhi arahan kerajaan pada tahun lepas iaitu agar sebarang siasatan dijalankan tanpa ugutan atau ancaman termasuk menghentikan semua serbuan ke atas rumah atau pejabat pembayar cukai dengan ditemani oleh anggota yang bersenjata dan memakai topeng muka balaclava.

Sekiranya ada mana-mana pihak yang mengingkari arahan itu tambah beliau, pihak yang terkesan diminta membuat aduan kepada pihak LHDN atau Kementerian Kewangan.

"LHDN akan menerima setiap pengakuan sukarela tersebut dengan suci hati dan tindakan audit serta siasatan tidak akan dilakukan terhadap pengakuan sukarela tersebut.

"LHDN juga akan mengeluarkan surat pengesahan bagi setiap pengakuan sukarela yang diterima. Surat kesahihan pelaporan cukai secara sukarela adalah teratur akan diberikan setakat 2017 untuk individu dan 31 Mac 2018 untuk syarikat," katanya. - UTUSAN ONLINE