Namun, sebenarnya ia menuntut komitmen yang tinggi setiap anggota keselamatan terlibat bagi memastikan hasilnya benar-benar memukau penonton selain mengelak kecelakaan.

Malah, bagi juruterbang Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia ), Komander Maritim Mohd. Ikmal Ridzuan, 38 berkata, anggota yang terlibat perlu kekal fokus dan bekerja keras selama beberapa minggu sebelum bermulanya acara.

“Biasanya dalam setiap demonstrasi kami membuat latihan untuk beberapa jam. Selain itu, kami perlu datang lebih awal, iaitu seminggu sebelum berlangsungnya acara LIMA ’19.

“Latihan demi latihan sangat perlu untuk memastikan setiap pergerakan dan apa jua teknik tepat. Walaupun ada tanggapan bahawa demonstrasi hanyalah ‘lakonan’ dan pertunjukan, tetapi ia sama penting kerana melibatkan keselamatan dan kesempurnaan di samping dapat mempertingkatkan kemahiran sedia ada.

“Lebih penting, kami tidak mahu ada insiden tidak diingini berlaku,” katanya ketika ditemui Utusan Malaysia di sini hari ini. - UTUSAN ONLINE