Setiausaha Agung PKR, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail berkata, Anwar adalah pemimpin untuk semua ahli parti dan beliau bukan ketua bagi puak-puak tertentu dalam parti.

“Permintaan untuk berjumpa di luar mesyuarat adalah satu tindakan tidak sihat untuk parti dan organisasi. Anwar perlu diterima sebagai Presiden parti terbesar kerusi dalam kerajaan hari ini.

“Adalah lebih baik kita hormati kedudukan itu. Jadi, kita kekal dengan keputusan sebelum ini iaitu menolak permintaan tersebut,” katanya ketika ditemui pemberita di sini hari ini.

Beliau berkata demikian bagi mengulas tindakan Naib Presiden PKR, Zuraida Kamaruddin yang bertegas mahu berjumpa dengan Anwar dan pemimpin parti yang dipilih sahaja.

Pada 3 September lalu, Saifuddin Nasution menolak permintaan Zuraida untuk mengadakan pertemuan bagi membincangkan isu dalaman parti berkenaan.

Manakala, Anwar pula menyifatkan isu surat yang dihantar oleh Zuraida itu sebagai remeh dan sebaliknya menyarankan Zuraida menghadiri mesyuarat parti.

Mengulas lanjut, Saifuddin Nasution berkata, beliau telah diarahkan oleh Anwar untuk menjawab surat kedua dan ketiga yang dihantar oleh Zuraida bagi mengadakan perjumpaan tersebut.

“Surat pertama saya telah saya jawab, isu kandungan semua surat itu adalah sama. Jadi, saya juga dipandu oleh Anwar untuk memberi jawapan kepada surat-surat berkenaan.

“Jawapan balas telah diserahkan kepada pengirim surat berkenaan. Jadual mesyuarat biro politik dan Majlis Pimpinan Pusat (MPP) juga dikepilkan bersama sekiranya beliau terlupa,” katanya.

Terdahulu, Saifuddin Nasution menghadiri majlis penyerahan 14 buah chiller truck kepada Yayasan Food Bank Malaysia dan Pengarah Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) negeri di kementeriannya. -UTUSAN ONLINE

HABIS