Pengarah Jabatan Keselamatan Dalam Negeri dan Ketenteraam Awam (KDNKA) PDRM, Datuk Seri Acryl Sani Abdullah Sani berkata, PGU ketika ini memiliki kira-kira 60 orang juruterbang dan jumlahnya seimbang dengan aset-aset udara yang dimiliki.

Menurut beliau, pada masa sama pengambilan juruterbang baharu dilaksanakan bagi memastikan kesiap siagaan pasukan tersebut berada pada tahap terbaik.

“Pada tahun ini misalnya kita telah memilih 10 orang pegawai yang bakal menjalani latihan penerbangan.

“Keupayaan sedia ada PGU adalah mencukupi, namun pada masa sama kita sentiasa mengambil kira keperluan operasi secara berterusan,” ujarnya kepada pemberita ketika ditemui pada majlis Penyampaian Sayap Penerbangan di Pusat Latihan PGU di sini hari ini.

Terdahulu, beliau menyematkan sayap penerbangan kepada Ketua Pengarah Agensi Anti Dadah Kebangsaan (AADK), Datuk Seri Zulkifli Abdullah setelah berjaya mengikuti Kursus Lesen Penerbangan Persendirian di Pusat Latihan PGU di sini.

Hadir sama Komander PGU, Datuk Mohd. Hishamuddin Tahar.

Sementara itu, Zulkifli, 59, ketika ditemui memberitahu, beliau mengikuti kursus berkenaan secara berperingkat-peringkat sejak tahun 2018 sewaktu menjawat sebagai Pengarah KDNKA PDRM.

Katanya, kursus berkenaan memberikan cabaran tersendiri pada dirinya kerana perlu lulus beberapa ujian yang perlu sebelum layak memiliki sijil penerbangan.

“Paling sukar ialah sewaktu melakukan penerbangan solo apabila perlu mengawal rasa takut kerana semasa latihan kita terbang bersama jurulatih.

“Turut mencabar ialah semasa terbang pada waktu malam. Saya sebenarnya ingin mencabar diri mengikuti kursus ini selain minat pada perkara-perkara yang mencabar,” ujarnya. - UTUSAN ONLINE