Ahli Majlis Tertinggi UMNO, Datuk Shamsul Anuar Nasarah berkata, keputusan itu tidak wajar dan bertentangan dengan Perkara 152 Perlembagaan Persekutuan yang meletakkan kedudukan Bahasa Melayu sebagai bahasa Kebangsaan dan merupakan bahasa rasmi Persekutuan iaitu selaras dengan Akta Bahasa Kebangsaan 1963/67 (Akta 32).

Beliau menjelaskan, jika kelonggaran tersebut diberikan, ia dibimbangi akan membuka peluang kepada pihak lain untuk membuat tuntutan sama bagi mendapatkan keistimewaan yang serupa sekali gus mengelakkan berlaku keputusan double standard kerajaan.

“Kementerian Kesihatan dan JPA sepatutnya menjunjung perkara yang termaktub dalam Perlembagaan dan kedua-dua pihak perlu bersikap sensitif dengan peraturan sedia ada.

“Mereka sepatutnya menghormati apa yang telah dijaga sejak sekian lama sekali gus mengelak pihak lain membuat tuntutan sama yang ak­hirnya akan menyebabkan banyak pihak turut tidak menghormati bahasa kebangsaan,” katanya kepada Utusan Malaysia di sini hari ini.

Dalam pada itu, Ketua Pemuda UMNO Bahagian Bagan Datuk, Dr. Nik Mohammad Azli Nik Arif­fin berkata, kelonggaran syarat kelayakan lulus Bahasa Melayu itu tidak boleh diberikan kepada sektor perubatan kerana ia akan merebak kepada bidang profesional lain yang akan menuntut perkara sama bagi membela nasib golongan masing-masing.

Katanya, perkara tersebut tidak boleh dipandang enteng kerana kedudukan bahasa Mela­yu telah diiktiraf dalam Perlembagaan Persekutuan sekali gus menjaga keistimewaan bahasa Melayu supaya ia tidak jatuh ke tangga kedua dalam kepentingan negara.

Beliau yang masih berkhidmat sebagai Pegawai Perubatan turut melahirkan kebimbangan bahawa kelonggaran syarat kelulusan itu untuk sektor berkenaan merupakan satu agenda tersirat pihak tertentu untuk melenyapkan kepentingan bahasa Kebangsaan di negara ini dalam jangka masa panjang.

“Perkara ini pernah berlaku terhadap kawan saya yang belajar perubatan di India tetapi tidak lulus Bahasa Melayu peringkat SPM, namun beliau menduduki semula SPM untuk melayakkan dia bekerja. Jadi perkara ini perlu diteruskan supaya tidak membuka ruang kepada bidang profesional lain untuk meminta kelonggaran sama,” katanya.