Yayasan Belia Malaysia dalam satu kenyataannya hari ini berkata, pehimpunan yang akan diadakan di Institut Latihan Islam Malaysia (ILIM), Bandar Baru Bangi, Selangor akan memberi fokus kepada pembentangan 'Kepimpinan Berhikmah - Mendepani Cabaran Abad 21 Merungkai Keresahan Rakyat'.

Menurut Pengerusinya, Datuk Dr. Suhaimi Ibrahim, pelbagai pihak termasuk individu serta pertubuhan muslim dijangka menghadiri perhimpunan bagi menyampaikan hasrat dan buah fikiran masing-masing.

"Pihak yayasan turut menghantar warkah menyila kepada Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah untuk hadir sebagai tetamu Diraja nanti.

"Justeru perhimpunan itu nanti akan menjadi medan pertemuan bukan sahaja antara persatuan dan kesatuan muda muslim dari seluruh negara, bahkan bakal menghimpunkan pemimpin persatuan Islam dari beberapa negara rantau Asia Tenggara," katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Tambah Suhaimi, penganjuran perhimpunan itu juga bertujuan memastikan hasrat dan suara golongan muda dapat disampaikan kepada kerajaan.

"HG3M juga adalah usaha untuk memastikan golongan muda antara penyumbang utama dan berkesan kepada pembangunan ekonomi, politik, sosial dan iklim dunia di peringkat nasional mahupun antarabangsa," ujarnya. - UTUSAN ONLINE