Jelas Aliff, beliau bagaimanapun masih belum berkesempatan untuk bertemu dengan pihak terbabit memandangkan berada di lokasi berbeza kerana tuntutan kerja.

“Saya difahamkan mereka ke pejabat tetapi saya sibuk dengan rancangan televisyen untuk mempromosikan produk saya. Pada sebelah petang pula saya perlu menghadiri acara perlancaran produk saya di Damansara.

“Bagaimanapun saya sudah menghubungi mereka semula untuk berjumpa pada waktu lain,” jelasnya ketika ditemui pada majlis pelancaran produk AS Legacy di sini sebentar tadi.

Sementara itu bercakap mengenai apa yang berlaku. Aliff tetap mempertahankan tindakannya yang dilihat sebagai salah satu cara untuk dia mendidik anak-anaknya.

“Saya akui agak tegas dalam mendidik anak-anak. Pada hari tersebut memang saya ada merotan tetapi tidaklah sehingga mencederakanya.

“Bagaimanapun saya tetap mahu meminta maaf kepada pihak yang terkesan dengan video tersebut,” katanya lagi.

Terdahulu Protect And Save The Children (P.S The Children), ahli gabungan Hak Kanak- Kanak Malaysia (CRCM) membuat laporan di Ibu Pejabat Polis Daerah Petaling Jaya kerana terkesan dengan muat naik video Aliff yang didakwa satu bentuk penderaan fizikal ke atas Qadejah El Zahra yang juga anak keduanya itu. - UTUSAN ONLINE