Datuk Amhari Efendi Nazaruddin, 43, berkata Jho Low adalah salah seorang individu yang menasihatkan bekas perdana menteri itu mengenai rancangan politik dan pilihan raya di negara ini.

Beliau berkata demikian semasa pemeriksaan balas oleh peguam Tan Sri Muhammad Shafee Abdullah yang mewakili Najib pada hari keenam perbicaraan bekas perdana menteri itu yang menghadapi pertuduhan berkaitan 1MDB.

Rabu lepas, saksi kelapan pendakwaan memberitahu mahkamah bahawa Jho Low adalah seorang ahli strategi dalam bidang pelaburan, berunding antara Kerajaan dan Kerajaan atau 'G2G', serta pencatur politik Najib, termasuk dana yang dikumpulkan oleh bekas perdana menteri.

Muhammad Shafee: Dalam pernyataan saksi anda, anda menyifatkan Jho Low sebagai 'pencatur' (ahli strategi). Apa maksud kamu dengan pencatur?

Amhari Efendi: Dia merancang dan menyusun sesuatu perkara yang juga melibatkan strategi dan dia dapat membuat sesuatu berlaku.

Muhammad Shafee: '...serta pencatur politik Datuk Seri Najib. Apa maksud kamu?

Amhari Efendi: Dia adalah salah seorang individu, dari apa yang Jho Low memberitahu saya, dia berbincang dengan Datuk Seri Najib mengenai rancangan politiknya (Najib) tentang pilihan raya.

Saksi itu juga berkata Jho Low adalah penasihat tidak rasmi Najib kerana dia adalah salah seorang individu yang mempunyai hubungan rapat dengan Ahli Parlimen Pekan itu sehingga dia dapat memberi nasihat dan berbincang dengannya.

Merujuk kepada pernyataan saksi Amhari Efendi, Muhammad Shafee mempersoalkan jika pelantikan Jho Low sebagai penasihat khas Najib didokumentasi lalu saksi menjawab tidak.

Muhammad Shafee: Anda kata pelantikan Jho Low "tanpa lantikan rasmi/secara sulit". mengapa?

Amhari Efendi: Ini kerana dia adalah unofficial, kerana ramai orang yang tahu individu-individu yang rapat dan boleh memberikan nasihat kepada Najib. Dalam konteks ini, secara sulit bermaksud kerana tidak ramai yang mengetahui perbincangan antara mereka yang dilakukan secara tertutup.

Saksi itu menambah, tidak ramai di Pejabat Perdana Menteri (PMO) mengetahui mengenai pelantikan Jho Low, selain para pegawai kanan seperti ketua setiausaha sulit Najib, allahyarham Datuk Azlin Alias.

Amhari Efendi juga berkata beliau tidak mengetahui bahawa Jho Low dilantik sebagai penasihat syarikat kepada Lembaga Pelaburan Terengganu (TIA) pada 8 April 2009.

Muhammad Shafee membangkitkan perkara bahawa Jho Low, sebelum pelantikan itu, telah secara salah mewakilkan dirinya sebagai penasihat khas kepada pengerusi lembaga penasihat TIA, Yang di-Pertuan Agong ke-13 Sultan Mizan Zainal Abidin.

Terdahulu, mahkamah diberutahu bahawa Istana Negara bagi pihak Sultan Mizan, yang merupakan Sultan Terengganu, telah menimbulkan kebimbangan mengenai peranan Jho Low dalam TIA, menurut minit syarikat.

Menurut minit itu, seorang wakil Istana Negara mempersoalkan siapa dan apakah peranan Jho Low kerana pihak Istana bimbang bahawa ahli perniagaan itu telah menyalahgunakan nama Agong pada masa itu.

Najib, 66, menghadapi empat pertuduhan menggunakan kedudukannya untuk menerima suapan sebanyak RM2.3 bilion daripada dana 1MDB dasn 21 pertuduhan pengubahan wang haram membabitkan jumlah wang yang sama.

Ahli Parlimen Pekan itu didakwa melakukan keempat-empat kesalahan tersebut di cawangan AmIslamic Bank Berhad, Jalan Raja Chulan, Bukit Ceylon di sini antara 24 Feb, 2011, dan 19 Dis, 2014, dan bagi 21 pertuduhan itu, antara 22 Mac, 2013, dan 30 Ogos, 2013, di tempat yang sama.

Perbicaraan di hadapan Hakim Collin Lawrence Sequerah bersambung esok. - BERNAMA