Pengarah Pendidikan negeri, Datuk Tajuddin Mohd. Yunos berkata, sehingga kini tiada lagi sekolah di negeri ini menutup persekolahan termasuk di daerah Rompin yang mencatatkan bacaan Indeks Pencemaran Udara (IPU) melebihi 200 semalam.

"Sama ada tutup atau henti aktiviti luar, itu kuasa sekolah. Sekolah buat keputusan maklum kepada Pejabat Pendidikan Daerah (PPD) dan PPD maklum kepada kita.

"Jangan tunggu pengarah (arahan penutupan sekolah). Kalau tunggu pengarah, tunggu PPD payah lah sekolah kalau budak-budah sudah pengsan," katanya pada Karnival Sains, Teknologi, Kejuruteraan dan Matematik (STEM) di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Bentong di sini.

Yang hadir sama Ahli Parlimen Bentong, Wong Tack; Pegawai Pendidikan daerah, Misnan Mohd. Damin dan Pengetua SMK Bentong, Hanifah Veerankutty.

Daerah Rompin semalam mencatatkan IPU melebih 200 manakala beberapa daerah lain di negeri ini juga turut menunjukkan peningkatan IPU.

Menurut Tajuddin, penutupan sekolah tidak boleh dilakukan secara menyeluruh hanya disebabkan keadaan jerebu di suatu daerah kerana kesan jerebu di sesuatu kawasan adalah berbeza.

Justeru katanya, pengetua dan guru besar hendaklah memainkan peranan mereka memastikan keadaan jerebu di tempat masing-masing sebelum apa-apa tindakan dilakukan. - UTUSAN ONLINE