Bagaimanapun, ini tidak bermaksud negara ini mengambil sikap tidak endah atau hanya bersikap diam diri berhubung perkara berkenaan.

Penganalisis Politik Antarabangsa, Prof. Madya Dr. Ahmad Martadha Mohamed berkata, mengenakan tindakan saman atau perundangan terhadap negara jiran adalah merupakan satu laluan yang keras.

Katanya, tindakan perundangan oleh kerajaan bagaimanapun dilihat tidak wajar.

“Ada usaha orang perseorangan yang cuba saman kerajaan Indonesia di Mahkamah Keadilan Antarabangsa (ICJ). Tetapi, kerajaan tidak lakukan itu semua. Guna saluran diplomatik,” katanya ketika dihubungi Utusan Online di sini hari ini.

Beliau ditanya kewajaran untuk Malaysia mengambil tindakan perundangan berhubung isu jerebu di negara ini.

Tambah Ahmad Martadha, saluran diplomatik adalah bagi memastikan hubungan kedua-dua negara berada dalam keadaan baik.

Katanya, itu merupakan pendekatan negara kita sejak dahulu lagi.

“Kita turut salur bantuan. Hantar bantuan Bomba. Hulur peralatan yang diperlukan. Pendekatan ilmiah, perbincangan dari pakar-pakar dua negara untuk mencari solusi pembakaran terbuka.

“Malaysia tidak kecam dan tidak saman. Kita anggap Indonesia sebagai negara jiran kita. Kita selesai hubungan diplomatik,” ujarnya. - UTUSAN ONLINE