Berdasarkan bacaan data Indeks Pencemaran Udara Malaysia (APIMS), Indera Mahkota mencatatkan bacaan IPU 108.

Menurut data itu, Indera Mahkota menunjukkan bacaan tidak sihat sejak pukul 9 pagi ini dengan bacaan IPU 104 dan mengalami turun naik sehingga bacaan IPU 108 pada pukul 2 petang.

Berdasarkan bacaan setakat pukul 2 petang itu juga, empat kawasan lain di negeri ini mencatat IPU sederhana iaitu Rompin (68), Temerloh (71), Jerantut (72) dan Balok Baru (83).

Bacaan IPU sifar hingga 50 dikategorikan sebagai baik, 51 hingga 100 (sederhana), 101 hingga 200 (tidak sihat), 201 hingga 300 (amat tidak sihat) dan lebih 301 (berbahaya).

Dalam pada itu, Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) negeri, Nor Hisham Mohammad berkata, sehingga kini dianggarkan kawasan hutan seluas 25 hektar di Bukit Palas terbakar.

Katanya, tindakan operasi seperti tinjauan udara menerusi unit dron, pengesanan akses laluan masuk ke lokasi dan pencarian sumber air terbuka bagi kegunaan operasi pemadaman dilakukan.

"Operasi pemadaman api menggunakan dua pam angkut empat keluaran bagi mengawal api daripada merebak," katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Menurutnya, kebakaran turut dikesan berlaku melibatkan belukar di sempadan Ladang Fecra Pulau Rumpun di Pekan dengan keluasan kira-kira empat hektar dan operasi pemadaman sedang dijalankan. - UTUSAN ONLINE