Timbalannya, Dr. Lee Boon Chye berkata, pihaknya menjangkakan hospital di seluruh negara akan menerima lebih banyak pesakit khususnya mereka yang menghidap masalah pernafasan seperti penyakit saluran pernafasan obstruktif kronik (COPD) atau bronkitis kronik.

“Masalah ini akan menjejaskan mereka menghidap penyakit COPD dan kami jangkakan lebih ramai pesakit sama ada yang mengalami masalah COPD atau asma akan dimasukkan ke hospital sekiranya keadaan jerebu masih tidak pulih.

“Bagaimanapun kami masih mengkaji perkara tersebut, tetapi itu yang kami jangkakan,” katanya yang dipetik laporan FreeMalaysiaToday selepas merasmikan Persidangan Tahunan Penyelidikan ke atas Penyakit Pernafasan di sini hari ini.

Setakat pukul 12 tengah hari tadi, sebanyak 18 kawasan mencatatkan bacaan Indeks Pencemaran Udara (IPU) tidak sihat manakala beberapa sekolah di lapan daerah di negeri Sarawak diarahkan tutup selepas bacaan IPU di kawasan terbabit berapa pada tahap yang membimbangkan.

Laman web Alam Sekitar (JAS) menunjukkan kawasan dengan IPU tertinggi setakat ini adalah Rompin (194) diikuti Sri Aman (190) dan Batu Muda (162).

Kuching dan Samarahan yang mencatatkan IPU sangat tidak sihat (di atas 200) semalam hari ini dilihat sedikit pulih apabila masing-masing mencatatkan IPU 142 dan 120.

Kawasan lain yang masih mencatatkan IPU tidak sihat adalah Johan Setia Klang (161); Cheras (155); Nilai (148); Petaling Jaya (144); Putrajaya (142); Shah Alam (134); Banting (123); Seremban (119); Klang(118); Tangkak (113); Bukit Rambai (104); Alor Gajah (103) dan Port Dickson (103). - UTUSAN ONLINE