“Projek ini dijangka dapat mewujudkan kluster teknologi baharu serta tenaga kerja pakar baharu terutama dalam mempelajari teknologi kejuruteraan automotif terkini” katanya pada majlis pelancaran Malaysia Autoshow 2019, di sini hari ini.

Dr. Mahathir berkata, perancangan untuk pembangunan industri automotif adalah berdasarkan pendekatan untuk membudayakan Malaysia dengan teknologi-teknologi masa depan yang canggih, justeru menjadikan Malaysia sebuah negara industri yang sistematik dan lestari.

“Pendekatan yang diambil adalah berasaskan teknologi tinggi, yang menumpukan kepada pelaburan strategik dalam pembangunan rantaian bekalan tempatan dan peluang perniagaan baharu yang bersifat inovatif,”katanya.

Dr Mahathir berkata, sektor automotif juga dapat menjana “spin-off” bagi keseluruhan ekonomi Malaysia agar dapat diselaraskan dengan perkembangan global.

Katanya, di Malaysia, terdapat 27 pengeluar jenama kenderaan merangkumi jenama nasional serta antarabangsa, di samping lebih dari 700 vendor, 53,000 pengedar, penjual dan pusat servis, dan juga lebih 700,000 individu yang bekerja di dalam sektor automotif dan mobiliti. - BERNAMA