Sememangnya ramai daripada jemaah kita yang mempunyai masalah sedemikian tetapi kebanyakan daripada mereka mempunyai pengiring yang terdiri daripada saudara mara atau rakan yang membantu.

Bagaimana pula bagi jemaah yang datang berseorangan, tiada pengiring atau pasangan yang datang bersama juga agak uzur untuk menguruskan suami atau isteri mereka di Masyair, iaitu tempat berkumpulnya jutaan umat Islam?

Bagi mengatasi masalah tersebut, Tabung Haji telah memperkenalkan program Jemaah Haji Warga Emas yang akan menawarkan ‘pengiring peribadi’ kepada jemaah terlalu berusia, uzur dan tidak mampu menguruskan diri.

Pengarah Operasi Bimbingan Musim Haji 1440 Hijrah, Tengku Aziz Raja Abdullah berkata, melalui program itu, setiap jemaah terpilih akan mendapat seorang pembantu yang akan berada bersama-samanya sepanjang masa pada masa ibadat Masyair.

“Mereka akan diiringi ketika berada di Arafah, Muzdalifah dan Mina, dan boleh melantik wakil untuk ibadat melontar kerana tidak mampu,” katanya dalam sidang akhbar di ibu pejabat Tabung Haji di sini, kelmarin.

Katanya, kesemua jemaah yang berminat menyertai program ini perlu membuat permohonan dan akan dipilih berdasarkan beberapa kriteria yang dinilai oleh bahagian kaunseling, kesihatan dan bimbingan.

Beliau berkata, secara umumnya, jemaah yang berusia dipilih adalah yang berusia 75 tahun ke atas tetapi tetap akan dipertimbangkan jika benar-benar uzur walaupun berusia lebih muda.

Setakat dua hari lepas, katanya, seramai 140 jemaah membuat permohonan menyertai program tersebut, 90 daripada lulus saringan awal dan hanya 31 yang terpilih.

Katanya, antara penambahbaikan yang dilakukan sejak dua tahun lepas, jemaah akan ditempatkan di khemah petugas di Arafah dan kemudiannya akan ditempatkan di hotel atau bangunan di Mina dan Mekah.

Seorang jemaah yang ditemui ketika hadir temuduga program itu, Siti Fatimah Jamal, 81, dari Sungai Buloh, Selangor, berkata, walaupun datang dengan suami, suaminya juga telah uzur dan tidak larat menolak kerusi rodanya.

Lasiah Din, 72, dari Teluk Kumbar, Pulau Pinang pula berkata, dia yang datang berseorangan dan juga berkerusi roda mempunyai masalah sakit kaki dan pinggang.

“Makcik solat pun di bilik sahaja, tidak mampu untuk ke Masjidilharam sepanjang berada di sini, kecuali ketika melakukan umrah tempoh hari,” tambahnya. - UTUSAN ONLINE