Ketua Rombongan Haji, Datuk Seri Syed Saleh Abd. Rahman berkata, mengikut jadual, penerbangan KT1 itu akan tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) pada pukul 2.50 petang keesokan harinya.

“Selepas operasi Masyair selesai, kini operasi haji memasuki fasa kedua iaitu jemaah dari Mekah akan mula bergerak pulang ke Malaysia melalui Jeddah dan sebahagiannya pula ke Madinah,” katanya dalam sidang akhbar di sini, semalam.

Katanya, penerbangan terakhir jemaah adalah pada 12 September ini dari Lapangan Terbang Antarabangsa Prince Mohammad Abdul Aziz di Madinah dan dijadual tiba di KLIA keesokan harinya pada pukul 3 pagi.

Mengulas mengenai operasi Masyair, Syed Saleh berkata, seramai 30,200 jemaah haji Malaysia yang telah menyempurnakan ibadat haji di Arafah, Muzdalifah dan Mina telah kembali ke Mekah, semalam.

Bas terakhir membawa jemaah tiba di Mekah pada 10.50 pagi dan kemudiannya masing-masing sibuk menyempurnakan ibadat rukun terakhir mereka iaitu bertawaf dan sai di Masjidilharam.

Ketua Rombongan Haji, Datuk Seri Syed Saleh Abd. Rahman berkata, operasi haji di Masyair, iaitu kemuncak aktiviti dalam ibadat haji telah berjalan dengan lancar dan tiada sebarang kejadian tidak diingini berlaku.

“Pada Isnin lepas, berlaku hujan lebat di Mina pada kira-kira 3 petang tetapi keadaan terkawal dan semua jemaah dalam keadaan baik dan tiada kerosakan besar,” katanya dalam sidang akhbar di sini, semalam.

Katanya, kira-kira 50 peratus jemaah haji Malaysia mulai pulang ke Mekah semalam selepas sebahagian daripada mereka melaksanakan nafal awal, iaitu memendekkan tempoh berada di Mina.

Beliau berkata, secara keseluruhannya jemaah Malaysia dalam keadaan baik sejak bermulanya operasi haji di Tanah Suci walaupun ketika ini musim panas kecuali hujan turun pada ketika umat Islam beribadat di Arafah dan Mina.

Katanya, setakat hari Rabu (14 Ogos), seramai sembilan jemaah Malaysia dilaporkan meninggal dunia di Tanah Suci dan 140 jemaah mendapat rawatan di pusat rawatan, termasuk 14 di hospital Arab Saudi. - UTUSAN ONLINE