Pergerakan ke maktab atau hotel masing-masing yang bermula sejak awal pagi dijangka selesai hari ini dan jemaah akan meneruskan ibadat tawaf dan sai di Masjidilharam bagi melengkapkan rukun haji mereka.

Ketua Rombongan Haji, Datuk Seri Syed Saleh Syed Abd. Rahman merupakan antara petugas Tabung Haji yang kelihatan menyambut ketibaan para jemaah di Maktab 77 dan 79 pagi ini.

“Sebaik tibanya jemaah terakhir dari Mina, maka operasi Tabung Haji di Mina selesai dan ditutup mulai hari ini sehingga operasi musim haji yang baru tahun hadapan,” katanya di Abraj Al-Janadriyah di sini, hari ini.

Pergerakan kembali jemaah dari Mina dijangka berjalan lancar kerana hampir separuh daripada jemaah telah kembali semalam kerana melakukan nafal awal, iaitu memendekkan urusan ibadat di Masyair dan kembali ke Mekah.

Dalam menyempurnakan ibadat haji, jemaah mempunyai pilihan untuk melengkapkan tempoh bermabit di Mina selama tiga malam atau memendekkannya kepada dua malam sahaja.

Beberapa jemaah yang ditemui oleh kakitangan Tabung Haji dalam rakaman Facebook Live mengucapkan terima kasih kepada agensi itu dalam menguruskan pergerakan mereka pergi dan kembali dari Arafah, Muzdalifah dan Mina.

Bagi musim haji tahun ini, Malaysia mempunyai 30,200 jemaah yang tinggal di sembilan maktab di 14 bangunan di Mekah.

Pihak Berkuasa Statistik Arab Saudi menyatakan angka rasmi jemaah tahun ini ialah seramai 2,489,406 orang dengan 1,855,027 daripadanya adalah jemaah dari luar negara.

Menurut Tabung Haji, penerbangan pulang jemaah pertama KT1 dari Lapangan Terbang Antarabangsa Jeddah ke Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur adalah pada 18 Ogos ini dan dijangka tiba keesokan harinya. - UTUSAN ONLINE