Sudah tentu, syarat utama menjadi jemaah haji adalah mampu berdikari, tidak sakit dan jika terdiri daripada orang kurang upaya, mereka perlu oleh diiringi saudara mara atau kenalan bagi membantunya di tanah suci.

Namun bagi Maraini Mat Piah, 55, sudah tersurat dirinya dipilih menjadi tetamu Allah tahun ini kerana mendapat pengiring yang sebelum ini langsung tidak dikenalinya, Mazita Abdul Ghafar, 54.

Mereka bertemu ketika masing-masing ingin membuat pemeriksaan di sebuah klinik di Shah Alam dan kelibat Maraini yang tidak ditemani sesiapa menarik perhatian Mazita .

Maraini berkata, dia sememangnya selalu melakukan urusan seorang diri termasuk apabila ke klinik dengan menaiki teksi kerana suaminya juga seorang cacat penglihatan.

"Saya lihat Maraini menghadapi masalah untuk mengisi borang di klinik tersebut dan saya membantunya," kata Mazita kepada pemberita Malaysia di sini, sambil menambah dari detik itu mereka menjadi sahabat dan sanggup menjadi pengiring kepada Maraini.

Katanya, pada mulanya, dia sepatutnya menjadi pengiring kepada ibunya tetapi kesihatan ibunya itu tidak mengizinkan untuk bersama-samanya ke tanah suci kali ini.

Ditanya bagaimana perasaan Maraini ketika berpeluang menjejakkan kaki ke Masjidilharam, dia sangat bersyukur kerana berpeluang menjadi tetamu Allah dengan bantuan Mazita.

Bekas operator telefon yang hilang deria penglihatan ketika berusia 18 selepas mendapat demam panas itu menambah, dia bagaimanapun masih boleh membayangkan bagaimana rupa Kaabah dengan ingatannya dahulu.

"Memanglah kalau boleh nak tengok betul-betul bagaimana rupa Kaabah tetapi Alhamdulillah saya telah berada di sini kerana masih ramai yang langsung tidak dapat datang," katanya.

Katanya, tidak dapat digambarkan bagaimana perasaannya ketika berada di dalam Masjidilharam tetapi suasananya sangat tenang walaupun dia tidak dapat melihat keadaan sekeliling.

Maraini juga berkongsi rahsia bagaimana dia mencukupkan wang untuk menjadi jemaah haji, dia menabung di dalam Tabung Haji sejak sekolah dan tabiat itu diteruskan selepas bekerja.

"Bagaimanapun selepas syarikat tempat saya kerja menawarkan pampasan untuk kakitangan berhenti, saya mengambilnya dan ia mencukupkan simpanannya untuk ke sini," tambahnya.

Maraini juga merupakan seorang yang gigih beribadat dan sanggup berjalan kaki hampir satu kilometer ke Masjidilharam dari penginapannya di Abraj Al-Janadriyah. - UTUSAN ONLINE