PERKATAAN nikotin jelas tertera pada botol cecair vape yang dijual di sebuah kedai vape di ibu kota. - UTUSAN ONLINE

Ini yang menimbulkan tanda-tanya kerana dengan pandangan mata kasar sahaja, sesiapa boleh membaca pada bungkusannya perkataan `mengandungi nikotin’ dan berapa banyak peratus kandungan nikotin, bermakna ia sudah memadai untuk pihak berkuasa menahan kemasukannya.

Malangnya, produk itu dilepaskan kerana dalam kebanyakan masa, produk tersebut diisytiharkan sebagai produk bukan nikotin di pintu-pintu masuk negara.

Jabatan Kastam Diraja Malaysia hanya akan mengenakan cukai terhadap produk yang diisytihar dan disahkan sebagai produk rokok. Pengimport vape tidak isytihar demikian. Dan untuk mengesahkan kandungan vape itu ada nikotin, ia perlu disahkan oleh Jabatan Kimia.

Malangnya, tiada penyela­rasan antara kedua-dua jabatan dalam konteks pemeriksaan ini, yang kelihatan lebih kepada soal karenah birokrasi berbanding kemungkinan lain.

Situasi serupa berkaitan eksport produk vape ke luar negara, di mana ia tidak diisytiharkan sebagai produk nikotin.

Dalam konteks ini, ia bukan sekadar terhad kepada isu tidak mengisytihar, menyorok fakta perisytiharan dan tiada penyelarasan kerja pihak berkuasa sempadan. Hakikatnya, perkataan pada kotak bungkusan sudah terang-terang menyatakan ia adalah produk mengandungi nikotin, seharusnya mudah bagi pihak berkuasa mengambil tindakan proaktif mengawal kemasukan produk seumpamanya.

Bayangkan berapa ramai anak-anak, pelajar dan remaja dapat diselamatkan daripada terpengaruh dengan tabiat vape. Bayangkan betapa banyak nilai cukai yang terlepas dan kerugian kepada kerajaan, akibat kelemahan di pintu masuk negara.