Menurut Presiden Gerakan, Datuk Dr. Dominic Lau Hoe Chai, beliau tiada masalah sekiranya Kementerian Pendidikan mahu mewajibkan pembelajaran tulisan itu di sekolah bukan vernakular.

“Pembelajaran tulisan Jawi bukanlah proses Islamisasi walaupun ia sinonim dengan agama Islam. Namun, jika kerajaan mahu melaksanakannya, seni tulisan kaum lain juga perlu diwajibkan juga.

“Justeru, lebih baik pembelajaran tulisan Jawi dilaksanakan secara sukarela tanpa memasukkannya ke dalam buku teks subjek Bahasa Malaysia. Jika diwajibkan di sekolah kebangsaan, saya tiada masalah,” katanya kepada Utusan Online hari ini.

Bagaimanapun, Tambah Dominic, itu tidak mengubah pendirian parti berkenaan untuk menolak pelaksanaan pembelajaran tulisan Jawi dan khat dalam subjek Bahasa Malaysia.

Dalam pada itu, beliau menyelar tindakan pihak menurunkan kain rentang bantahan tulisan Jawi yang digantung pada bangunan ibu pejabat parti.

Beliau berkata, kain rentang tersebut adalah kempen yang dilaksanakan parti di seluruh negara sebagai menyatakan bantahan terhadap pelaksanaan tulisan jawi.

“Kita mungkin berbeza pendapat dan kerajaan atau siapa sahaja boleh tidak bersetuju dengan pandangan Gerakan, tetapi bukan menafikan hak bersuara,” tegasnya. - UTUSAN ONLINE