Dan kata orang, nak tahu sesebuah kedai makan itu pemiliknya beragama Islam atau tidak, lihat sama ada mereka buka atau tutup pada hari perayaan agama lain. Kalau tutup, itu mungkin ada yang tidak kena. Satu kerjalah pula nak jadi pengintip.

Yang pasti, itu dulu melibatkan warung menjual kari dan roti canai di bahu jalan. Walaupun nampak ada ayat al-Quran tergantung tapi tertanya-tanya juga siapa pemiliknya. Sedap mana pun kari kambing dan dalca, nak cari yang diyakini halal.

Bukan apa, sudah ba­nyak laporan media mengenai ‘premis makanan India Muslim celup’ diserbu pihak berkuasa apabila ayat al-Quran yang tergantung hanya bagi memperdaya pelanggan bahawa premis itu milik orang Islam.

Tetapi terbaharu, di Shah Alam kelmarin lebih mengejutkan. Sebuah premis ‘India Muslim celup’ yang bukan lagi warung atau kedai makan tetapi bertaraf restoran diserbu dan penemuan pihak berkuasa amat mengejutkan.

Sedangkan restoran nasi kandar tumbuh bagai cen­dawan di seluruh negara kerana menjadi tempat lepak popular rakyat sehinggakan ada gurauan, pantang ada bucu, mesti ada usahawan India Muslim buka restoran nasi kandar.

Cukup jelas pemilik res­to­ran nasi kandar di Shah Alam itu berdepan tindakan kerana cuba mengelirukan orang ramai untuk mempercayai yang premis itu adalah restoran milik India Muslim dan menyajikan makanan halal, bukan sahaja kerana nama premis itu tetapi juga ayat al-Quran yang digantung.

Kali ini pengguna tidak perlu jadi pengintip, pihak berkuasa yang pergi serbu. Namun untuk diperiksa pihak berkuasa, janganlah tunggu ada kes pelayan ditampar pe­langgan yang tidak ber­puas hati kerana ditegur akibat merokok di premis makanan.

Kerap-keraplah semak da­lam rekod Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM), mana yang diragui bolehlah diperiksa. Persatuan Pengusaha Restoran Muslim Malaysia (Presma) juga kecewa dengan tindakan pengusaha bukan Muslim yang mempergunakan ayat al-Quran selain turut memberi imej buruk kepada restoran India Muslim.

Undang-undang sudah wujud, Akta Perihal Daga­ngan 2011 dan dua perintah di bawahnya iaitu Perintah Perihal Dagangan (Takrif Halal) 2011 dan juga Perintah Perihal Dagangan (Perakuan dan Penandaan Halal) digubal bagi menggantikan akta lama yang antaranya untuk menangani isu halal.

Ini kerana isu halal cukup sensitif buat umat Islam khususnya di Malaysia. Benda lain boleh buat main, tapi bab halal majoriti umat Islam di negara ini masih teliti. Usah ditanya mengapa, tetapi hormatilah sensitiviti ini.

Kalau tidak menyajikan makanan halal, tidak perlulah nak menipu. Kalau mahu tarik pelanggan beragama Islam, mohonlah sijil halal daripada pihak berkuasa. Itu sahaja.