Timbalan Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani, Sim Tze Tzin berkata, tanah pertanian harus dikekalkan supaya pengeluaran produk dapat diteruskan untuk keperluan rakyat.

Menurutnya, kerajaan mendapati banyak yang menukar syarat tanah pertanian kepada perumahan dan perindustrian.

“Ini menjadi masalah utama sehinggakan pengeluaran padi, sayur, buah-buahan dan barangan pertanian turun.

“Sekiranya pengeluaran pertanian turun, maka harga kos barangan akan naik dan rakyat terpaksa membeli sayur-sayuran yang lebih mahal atau diimport dari luar negara dan menyebabkan kita rugi.

“Jadi saya menyeru supaya jangan sesekali dengan secara senang menukar syarat tanah pertanian kepada tanah perindustrian atau perumahan,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam sidang akhbar selepas majlis perasmian bangunan Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia (LKIM) Seri Manjung di sini hari ini.

Majlis dirasmikan oleh Sultan Perak, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah.

Mengulas mengenai penyusutan kawasan sawah padi di beberapa tempat, Tze Tzin berkata, kerajaan telah mewartakan kawasan padi ke dalam jelapang padi yang tidak boleh tukar kepada mana-mana industri.

Menurutnya, status tanah jelapang padi merupakan satu jaminan ia tidak boleh dipindah milik atau tidak boleh tukar kepada penggunaan tanah yang lain.

“Ini bagi memastikan kawasan jelapang padi kekal menjadi tempat pengeluaran padi untuk Malaysia,” katanya.

Menurutnya, antara jelapang padi ketika ini ialah Lembaga Kemajuan Pertanian Muda (MADA) di Kedah; Kawasan Pembangunan Pertanian Bersepadu (IADA) dan Lembaga Kemajuan Pertanian Kemubu (KADA) di Kelantan. - UTUSAN ONLINE