Sebaliknya, Timbalan Speaker Dewan Rakyat, Datuk Mohd. Rashid Hasnon berharap kerajaan dapat melakukan perbincangan dengan segenap masyarakat terlebih dahulu.

Ini penting, ujarnya, bagi memperoleh sebanyak mungkin maklumat yang boleh digunakan sebagai pertimbangan sebelum meratifikasi konvensyen berkenaan.

"Seperti kata Datuk Seri Anwar Ibrahim, jangan bertindak tergesa-gesa dan beri ruang kepada perbincangan untuk dilakukan.

"Inilah semangat kerajaan baharu yang tidak wujud pada kerajaan terdahulu, apa yang wujud (dahulu) adalah pandangan pemimpin yang kalau dia kata baik maka baiklah untuk masyarakat," katanya.

Beliau berkata demikian ketika menyampaikan ucaptama dalam forum Apa Perlunya ICERD Untuk Malaysia, di sini malam tadi.

Mohd. Rashid berkata, ICERD merupakan tinggalan kerajaan lama yang hanya mampu meratifikasi tiga daripada sembilan konvensyen antarabangsa.

Selain itu, beliau menyifatkan tindakan segelintir pihak membuat 'bising' pada ketika kerajaan berusaha untuk mengadakan perbincangan berkenaan ICERD hanya akan mengganggu usaha tersebut.

"Bagi pihak yang memilih untuk buat bising dalam demokrasi sematang mana pun buat bising untuk tujuan protes hanya mengganggu proses perbincangan," katanya. - UTUSAN ONLINE