Pengarah Operasi Bimbingan Tabung Haji, Tengku Aziz Raja Abdullah berkata, Hari Wukuf pada 9 Zulhijjah (10 Ogos) ini adalah waktu kemuncak ibadat haji dan jemaah tidak harus membazirkan peluang itu untuk beribadat seperti solat, membaca al-Quran, berzikir dan berdoa kepada Allah.

"Bukan tidak boleh berswafoto atau berbual-bual tetapi berpada-padalah kerana waktu wukuf itu sangat singkat, bermula waktu zohor hingga terbit fajar (subuh) keesokan harinya," katanya dalam sidang akhbar di sini, baru-baru ini.

Sebaiknya, katanya, para jemaah perlu membuat persiapan rapi dari segi segi ibadat, mental dan fizikal sebelum berangkat ke tempat Masyair (Arafah, Mudzalifah dan Mina).

Katanya, selain menjaga kesihatan fizikal, jemaah harus banyak berdoa masa kini agar diberi perlindungan dan keberkatan sepanjang berada di Masyair.

"Apabila telah sampai ke Arafah, jemaah berada dalam ihram iaitu dalam keadaan keampunan Allah, yang sudah tentu perlu dipenuhi dengan ibadat dan diperbanyakkan talbiah," tambahnya.

Beliau berkata, Hari Arafah atau Hari Wukuf adalah hari keampunan dari Allah, maka para jemaah perlu menyediakan karangan doa yang hendak diucapkan untuk diri sendiri, keluarga, rakan taulan dan seluruh umat Islam.

Katanya, pada hari tersebut, malaikat akan mengaminkan doa-doa jemaah haji dan Allah akan mengabulkan doa mereka jika dipohon dengan ikhlas dan tawaduk.

Beliau berkata, apa yang penting, jemaah perlu buat perancangan dari hari pertama berada di sana iaitu pada hari tarawiyah (8 Zulhijjah) sehingga kemuncak Hari Wukuf pada 9 Zulhijjah.

"Dengan perancangan, kita tidak akan membuang masa dan seterusnya menjurus kepada melakukan perkara-perkara tidak berfaedah seperti bersembang dan berswafoto," katanya.

Kira-kira 33,000 jemaah haji Malaysia akan bergerak ke Arafah mulai pagi Jumaat ini (hari Tarwiyah) secara berperingkat-peringkat ke khemah masing-masing di Arafah. - UTUSAN ONLINE