“Perpaduan” merupakan ‘tunjang’ dan kekuatan sesebuah negara. Jatuh dan bangunnya sesuatu bangsa merdeka, adalah terletak kepada sejauh mana kesetiaan, dan eratnya hubungan antara sesama rakyat dan hubungan antara Raja dan juga Rakyat, titah baginda.

Titah baginda, tiadalah erti bahagia dan sukacita, jikalau rakyatnya merana dan menderita. Bagi Raja, bahagia rakyat, bahagialah Raja, sengsaranya rakyat, sengsara dan dukacitalah Raja.

"Inilah nilai yang sentiasa dijaga, agar semua pihak sentiasa merasa penting untuk mengutamakan perpaduan demi kelangsungan kemakmuran bersama," titah baginda.

Demikian menurut kenyataan akhbar yang dikeluarkan oleh Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Perlis (MAIPs) ketika baginda yang juga merangkap Yang DiPertua MAIPs berkenan berangkat mempengerusikan mesyuarat Jawatankuasa Adat Istiadat Melayu Perlis, Sidang Ketiga bagi tahun 2019 yang diadakan di Bilik Mesyuarat Galeri DiRaja Arau pada rabu pagi.

Keberangkatan tiba baginda disambut oleh Ketua Pegawai Eksekutif MAIPs Mohd Nazim Mohd Noor.

Turut hadir ialah Setiausaha Kerajaan Negeri Perlis Azman Mohd Yusof dan Mufti Perlis Datuk Arif Perkasa Dr Mohd Asri Zainul Abidin.

Tuanku Syed Faizuddin Putra turut menambah bahawa perlembagaan negara telah menjadi ‘asas’ yang begitu penting dalam mengekalkan kestabilan dan keharmonian antara semua masyarakat yang berbilang bangsa dan agama di negara tercinta ini.

Selama ini, kita telah berasimilasi bersama, membentuk adat dan budaya saling hormat-menghormati, memberi hak kepada mereka yang berhak dan bersepakat pada kemanfaatan dan kemaslahatan bersama.