Presidennya, Datuk Zuhairi Ab. Kadir berkata, bagi kelangsungan negara yang sedang membangun, sumbangan pekerja asing sememangnya diperlukan.

"Lihat sahaja bangunan tinggi yang kita banggakan, tangan siapa yang dirikan? Pusat Konvensyen Kuala Lumpur (KLCC), Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA), hotel, universiti, menara, pejabat, litar sepang, stadium, hospital dan bangunan lain-lain termasuk perumahan yang menempatkan kita pada hari ini, tenaga siapa yang banyak kita gunakan untuk membinanya?

"Mereka ini (pekerja asing) sanggup menyabung nyawa lebih-lebih lagi dalam sektor pekerjaan 3D iaitu kotor, bahaya dan sukar untuk mencari rezeki yang halal, tidak ramai dalam kalangan anak muda kita yang berminat dengan pekerjaan seperti itu. Ada lagi ke yang mahu kerja dan tinggal di dalam hutan ladang sawit? Kerja di kawasan lombong atau pembantu rumah sepenuh masa?" soalnya di sini hari ini.

Zuhairi berkata, sumbangan pekerja asing sepatutnya dihargai kerana mereka datang ke negara ini untuk bekerja mencari rezeki halal.

"Jangan pandang rendah pada mereka (pekerja asing) dan hina sedap mulut saja, mereka bukan datang minta sedekah tapi bekerja, ini lebih baik daripada menganggur," jelasnya.

Menurutnya, umum juga mengetahui berhubung Program Kebajikan Khidmat Imigran (PKKI) pada warga asing yang dilaksanakan Peka.

"Pekerja asing yang sertai PKKI kita beritahu tentang Rukun Negara ini, kita ajar budaya dan cara hidup di sesebuah tempat dan kita berkongsi idea dan kepakaran.

"Ramai imigran yang sertai PKKI dan dengan platform ini mereka berpeluang mendekatkan diri dengan komuniti kita dan rujuk tentang apa-apa yang mereka tidak faham," jelasnya.

Beliau berkata, matlamat PKKI membantu mencari penyelesaian isu melibatkan pekerja asing dan menjelaskan tentang hak-hak pekerja serta undang-undang buruh antarabangsa.

"Peka perlu tunjuk komitmen pada pertubuhan bukan kerajaan (NGO) di luar negara yang bersoladariti dengan kita supaya mereka mengambil langkah yang sama untuk membantu rakyat Malaysia di luar negara," katanya. - UTUSAN ONLINE