Pengarah Eksekutif Akademi Kajian Syariah Antarabangsa Bagi Kewangan Islam (Isra), Profesor Dr. Mohamad Akram Laldin berkata, sehingga kini jumlah harta tidak dituntut oleh waris si mati mence­cah RM60 bilion.

Katanya, ia amat merugikan umat Islam kerana seharusnya harta-harta tersebut digunakan bagi membantu membangunkan taraf ekonomi umat Islam.

“Nilai harta yang tidak diuruskan tersebut, sekiranya digunakan boleh menjana banyak peluang-peluang pekerjaan, pembinaan infrastruktur dan sebagainya, sekiranya jumlah tersebut terus bertambah ia amat merugikan umat Islam.

“Oleh itu, kita harus mencari jalan penyelesaian dan umat Islam perlu celik serta tahu mengenai pengurusan harta dan sebagainya,” katanya ketika ditemui selepas sesi bual bicara Santai Labur PNB sempena Minggu Saham Amanah Malaysia 2016 (MSAM 2016) di sini hari ini.

Yang turut hadir, Ahli Panel Syariah Pemodalan Nasional Bhd., (PNB), Professor Emiritus Datuk Dr. Mahmood Zuhdi Abd. Majid dan Rafie Omar & Associates, Rafie Omar.

Sementara itu, Mahmood Zuhdi berkata, umat Islam juga disaran untuk menyelesaikan proses pengurusan harta melalui wasiat, hibah dan sebagainya ketika masih hidup bagi mengelak timbulnya kesulitan di kemudian hari.

“Saya sarankan supaya pentadbiran harta pusaka ini dibuat secara teratur bagi memelihara kepentingan umat Islam,” katanya.

Program Santai Labur PNB me­rupakan sebahagian daripada aktiviti yang dijalankan sempena MSAM 2016 yang berlangsung sehingga 28 April ini.