Jika sebelum ini golongan bujang yang meraih pendapatan kurang daripada RM2,000 sebulan layak menerima Bantuan Rakyat 1Malaysia (BR1M) sebanyak RM450, tetapi dengan semangat 'Malaysia Baharu', tiada lagi bantuan tunai untuk mereka.

Ini jelas apabila orang bujang, sama ada mempunyai tanggungan atau tidak telah digariskan di bawah kategori pemohon yang tidak layak menerima BSH.

Dalam hal ini, kerajaan perlulah bersifat realistik terhadap kedudukan ekonomi golongan bujang yang hakikatnya tiada beza pun dengan mereka yang telah mendirikan rumahtangga.

Malah bukanlah sesuatu yang janggal di negara ini apabila golongan bujang mempunyai tanggungjawab melebihi mereka yang berkeluarga, seperti menanggung orang tua yang uzur dan menjaga seorang dua anak angkat.

Bersikaplah adil kepada semua tanpa meminggirkan mana-mana golongan sekali pun, mungkin pemberian BSH untuk golongan bujang harus bersasar seperti mengenakan had umur.

Sama ada kerajaan terlupa bahawa orang bujang juga sebahagian daripada anggota masyarakat dan sudah tentu ada sebab musabab tertentu yang menyebabkan mereka masih belum berkahwin.

Mungkin selama ini mereka masih mengumpul wang untuk mengadakan majlis perkahwinan, tetapi apabila kelayakan untuk menerima BSH dinafikan, pastinya kewangan mereka lebih terbeban. - UTUSAN ONLINE