Presiden Pertubuhan Anak Kelahiran Pahang (PAKP), Datuk Syed Mohammad Faiz Azemmant berkata, perpaduan rakyat di negara ini merupakan ‘aset berharga’ yang begitu dicemburui oleh masyarakat luar.

“Mereka (masyarakat luar) sememangnya mahu mengetahui resepi kejayaan negara membentuk perpaduan kaum ini, jadi jika kita tidak mempertahankannya, siapa lagi?

“Sebagai rakyat, kita seharusnya mengelakkan berlakunya kekeruhan antara kaum yang akhirnya boleh memusnahkan perpaduan yang wujud sejak sekian lama itu,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

Beliau berkata demikian sebagai mengulas titah Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah yang menitahkan rakyat terutama orang Melayu supaya jangan cepat melatah dan cuba memecahbelahkan perpaduan di negara ini.

Al-Sultan Abdullah bertitah, negara tidak boleh mempunyai rakyat bercelaru dan berpecah dalam satu kapal yang sedang menuju kejayaan.

Mengulas lanjut, Syed Mohammad Faiz berkata, adalah penting untuk rakyat di negara ini terus mengekalkan persefahaman tanpa mengira perbezaan pegangan politik serta fahaman agama masing-masing.

“Pemuafakatan itu penting demi memastikan kesejahteraan dan kemakmuran rakyat terutama ketika berhadapan dengan pelbagai cabaran ketika ini.

“Tidak ada negara dalam dunia ini yang rasis, menolak kaum lain dan pelaburan asing boleh maju,” katanya. - UTUSAN ONLINE