Malaysia tidak perlu memilih salah satu atau meninggalkan kedua-duanya.

Apa yang boleh kita lakukan adalah berdagang dengan kedua-dua blok. Ia bukan atas faktor geopolitik semata-mata tetapi dari sudut ekonomi, ia dapat mengurangkan risiko impak perubahan iklim ekonomi dunia.

Contohnya, Malaysia memutuskan menyertai Perjanjian Perkongsian Trans-Pasifik (TPPA) dan Rundingan Kerjasama Ekonomi Komprehensif Serantau (RCEP). Ini menjadikan Malaysia sebagai sebuah rakan dagang yang menjalankan perniagaan bersama Amerika Syarikat dan sekutunya. Dalam masa sama turut berdagang dengan China dan rakan-rakannya.

Selain daripada akses pasaran di negara-negara kedua blok berkenaan, Malaysia juga memperoleh akses kemudahan seperti kemudahan kredit, teknologi dan kepakaran.

Melalui paksi Amerika Syarikat, kita akan terus aktif dalam Bank Dunia dan juga Bank Pembangunan Asia (ADB) kelolaan Jepun yang juga merupakan negara TPPA.

Di paksi yang lain pula, kita mempunyai akses kepada Asia Infrastructure Investment Bank (AIIB) anjuran China. Kita juga berpeluang melibatkan diri dalam inisiatif China - One Belt One Ring (OBOR).

Tidak mustahil pada masa akan datang, kita juga boleh menyertai kerjasama ekonomi BRICS (Brazil, Rusia, India, China dan Afrika Selatan) memandangkan hubungan baik kita dengan China dan Afrika Selatan.

Dengan menjadikan Malaysia sebagai negara yang berniaga dengan semua, barulah kita dapat memastikan kedaulatan Malaysia sebagai negara bebas untuk melaksanakan yang terbaik untuk rakyatnya.

Sekiranya blok niaga Amerika Syarikat menghadapi masalah dan kemelesetan, kita masih mempunyai blok perdagangan China.

Kedudukan Malaysia yang strategik dan merupakan kuasa penting ASEAN memberikan kita peluang untuk melibatkan diri dalam kedua-dua blok ekonomi.

ASEAN kini adalah blok ekonomi ketujuh terbesar dunia dan dijangka menjadi kuasa ekonomi keempat terbesar di dunia pada 2050.

Rantau ini juga dianggarkan mempunyai sejumlah 125 juta penduduk kelas menengah pada 2025. Bermakna kuasa beli penduduk kian meningkat. Sudah pasti mereka akan membeli dan dahagakan pelbagai bentuk barangan dan perkhidmatan.

Dengan berdagang dan mengukuhkan hubungan ekonomi, Malaysia dapat menggunakan strategi ‘hedging’ atau ‘imbang’ agar kuasa-kuasa tidak melampaui batas dalam tindakan mereka. Antaranya isu Laut China Selatan oleh China dan isu hak asasi manusia oleh Amerika Syarikat.

Melihat kesemua faedah dan sinergi yang wujud, maka benarlah TPPA tidak wajar dilihat secara silo.