Sebaliknya, Presiden PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, apa yang penting ialah semua pihak perlu memberikan sokongan kepada mana-mana pegawai yang dilantik kerajaan berdasarkan sikap profesional mereka, bukannya mengaitkan lantikan itu dengan isu perkauman.

“Saya tidak fikir patut ada kenyataan berunsurkan perkauman, apa yang penting tugas dijalankan secara adil dan profesional.

“Perlu diingat apabila mereka menjalankan tugas dengan adil tidak ada sebab untuk kita persoalkan integriti mereka, saya rasa penting untuk mereka jalankan tugas dengan adil tanpa mengira kaum atau agama,” katanya,

Beliau ditemui pemberita selepas menyampaikan ucaptama sempena Sidang Kemuncak Perniagaan dan Pelaburan Antarabangsa Pulau Pinang (PIBIS) di sini hari ini.

Beliau mengulas mengenai Setiausaha Agung Barisan Nasional (BN), Datuk Seri Mohamed Nazri Aziz yang didakwa mengeluarkan kenyataan menghasut ketika kempen Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Semenyih minggu lalu.

Dalam ucapannya, Mohamed Nazri didakwa menuduh kerajaan Pakatan Harapan (PH) lemah dan terpaksa menyerahkan hak-hak Melayu kepada kaum lain.

Mohamed Nazri berkata, perkara itu dapat dilihat dengan pelantikan bukan Melayu sebagai Ketua Hakim Negara, Peguam Negara dan Menteri Kewangan.

Dalam pada itu, ketika ditanya apakah tindakan yang akan diambilnya terhadap Mohamed Nazri jika beliau adalah Perdana Menteri, Anwar berkata negara ini kini mempunyai persekitaran yang berbeza dan lebih demokratik.

“Kita mesti membenarkan dan menghormati kebebasan bersuara tetapi kita juga harus diberikan hak untuk mengatasi sebarang tuduhan,” katanya. - UTUSAN ONLINE