Kemudahan subsidi yang diberikan Lembaga Tabung Haji (Tabung Haji) selama ini dilihat sebagai satu ‘rahmat’ kepada umat Islam yang kurang berkemam­puan untuk sampai ke Tanah Suci.

Namun baru-baru ini, desas-desus bahawa pengiring jemaah haji serta kes rayuan tidak lagi diberikan subsidi seperti tahun-tahun lalu membuatkan ramai yang meluahkan rasa kecewa dan sedih.

Manakan tidak, pengiring yang berperanan membantu jemaah haji yang sudah uzur perlu membayar kos penuh iaitu RM22,900 meskipun pertama kali mengerjakan rukun Islam kelima itu.

Keadaan ini seolah-olah menidakkan hak subsidi si pengi­ring tersebut dan lebih menyedihkan, warga emas yang uzur terpaksa pergi sendirian tanpa pengiring sekiranya pengiring terbabit tidak mampu untuk membayar kos penuh.

Konsep istito’ah (kemampuan) yang diguna pakai untuk mengerjakan ibadah ini sememangnya perlu diberi penekanan dan tiada salahnya jika Tabung Haji menjadi medium untuk umat Islam di negara ini berusaha mencapai kemampuan tersebut.

Sebagai rakyat di negara yang mempunyai antara struktur kemudahan haji terbaik di dunia, tidak salah untuk kita memanfaatkan kemudahan itu bahkan boleh dianggap sebagai kemudahan yang meri­ngankan lagi aspek istito’ah .

Namun sekiranya keputusan tersebut muktamad kerana sebab-sebab yang tidak boleh dielakkan, diharapkan pihak Tabung Haji menggunakan kuasa budi bicara bagi kes ra­yuan dan pengiring yang kurang berkemampuan.

Meskipun rakyat sedia maklum berkenaan keadaan ekonomi yang ‘kurang baik’, diharapkan dana Tabung Haji tidak ‘disentuh’ mana-mana pihak kerana ia melibatkan impian berjuta umat Islam di Malaysia melaksanakan rukun Islam kelima itu.