Presiden Gerakan, Datuk Dr. Dominic Lau Hoe Chai berkata, Perdana Menteri juga perlu lebih bijak menguruskan urus tadbir negara untuk mengatasi masalah tersebut.

"Dengan alasan mahu mengurangkan perbelanjaaan negara kerajaan mahu lantikan kontrak diguna pakai untuk mengatasi masalah skim bayaran pencen yang tinggi di kalangan pesara kerajaan sedia ada.

"Tindakan sedemikian akan mengguris hati pesara kerajaan malah mengurangkan rasa cinta dan taat setia rakyat terhadap kerajaan negara," katanya dalam kenyataan hari ini.

Tambahnya, bagi mengatasi masalah perbelanjaan, Dr. Mahathir perlu memikirkan kaedah lain yang lebih praktikal.

"Malah jika benar beliau merasakan negara begitu terbeban dengan masalah hutang dan sebagainya beliau seharusnya lebih bijak urus tadbir negara kerana pernah menjadi Perdana Menteri suatu ketika dahulu.

"Malah tindakan melulu kerajaan yang mahu skim pencen dimansuhkan tanpa berbincang dengan Kongres Kesatuan Pekerja-Pekerja Da­lam Per­khid­matan Awam (CUE­PACS) menunjukkan pemimpin kerajaan sangat terdesak untuk laksanakan skim lantikan kontrak," katanya.

Dominic Lau menambah, dakwaan bayaran pencen terlalu tinggi merupakan alasan yang tidak munasabah kerana penjawat awam menerima pencen mengikut skim perkhidmatan yang diperuntukkan malah bayaran tersebut setara dengan perkhidmatan yang mereka berikan. -UTUSAN ONLINE