Noor Hisham Abdullah

Ketua Pengarah Kesihatan, Datuk Dr. Noor Hisham Abdullah memberikan peringatan itu kerana antibiotik tidak mempunyai kesan terhadap virus dan penggunaan antibiotik yang betul amat penting agar kesihatan terus terpelihara.

“Sekiranya pesakit sangat memerlukan rawatan antibiotik, mereka mesti mematuhi nasihat ahli profesional kesihatan tentang cara pengambilan antibiotik yang betul termasuk dos dan tempoh rawatan yang diperlukan serta tidak berkongsi antibiotik dengan orang lain,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Jelas Noor Hisham, antibiotik merupakan sumber berharga yang perlu digunakan dengan berhati-hati bagi memastikan ia kekal berkesan untuk seberapa lama yang boleh.

Kementerian Kesihatan hari ini melancarkan Kempen Kesedaran Antibiotik Sedunia Peringkat Kebangsaan bagi meningkatkan kesedaran awam dan para profesional kesihatan supaya menggunakan antibiotik secara rasional dan bertanggungjawab bagi me­ngawal rintangan antibiotik.

Noor Hisham berkata, kerintangan antibiotik menyebabkan antibiotik yang biasa digunakan tidak lagi berkesan, kos penja­gaan kesihatan akan meningkat kerana jangkitan menjadi teruk serta memerlukan rawatan intensif untuk tempoh lebih lama selain boleh menyebabkan risiko kematian.

Sehubungan itu, katanya, adalah penting masyarakat mendapatkan nasihat yang tepat sebelum mengambilnya bagi me­mastikan mereka mendapat rawatan yang terbaik.

“Masyarakat digesa untuk turut memainkan peranan dalam memerangi kerintangan antibiotik dengan mengamalkan langkah-langkah pencegahan jangkitan seperti mengambil vaksin mengikut jadual serta menjaga kebersihan diri dan makanan supaya pengambilan antibiotik dapat dielakkan,” katanya.

Beliau menambah, antibiotik adalah sejenis ubat dikawal di bawah akta sedia ada yang mana ia hanya boleh dibekalkan oleh pengamal perubatan dan veterinar berdaftar serta ahli farmasi berle­sen dengan preskripsi yang sah.

Penjualan antibiotik secara da­lam talian juga dilarang di bawah akta yang sama.