Adib tidak bersalah, Adib tidak berdosa tetapi menjadi mangsa kekejaman sekelompok individu yang moralnya jauh lebih rendah daripada haiwan.

Kalau haiwan bertindak ganas kita faham sebab binatang hanya ada otak tetapi tak ada akal, manusia ada otak ada akal namun malangnya hilang akal.

Segalanya kerana dirasuk oleh sentimen perkauman yang dicetuskan oleh ' keparat' yang mendabik dada kononnya mempertahankan kaumnya.

Adib hanya ahli bomba, Adib tidak tahu soal politik, Adib tidak pernah memilih kaum mana untuk dibantu, Adib hanya mahu melaksanakan amanah negara kepadanya.

Tetapi malang Adib terperangkap dalam kebodohan pihak lain dan kelompok manusia yang terpengaruh dengan nafsu kebinatangan.

Mungkin apa yang diperkatakan ini agak keras tetapi apa lagi yang boleh dikatakan apabila seorang ahli bomba diseret keluar dari kenderaan dan dibelasah tanpa belas kasihan.

Apa dosa Adib? Allahyarham pergi ke Kuil Mariamman Subang Jaya bukan untuk bergaduh atau mengganggotai sekelompok individu bodoh yang sanggup berkorban nyawa hanya untuk upah yang tidak seberapa tetapi Allahyarham ke situ kerana tugas murni berkhidmat untuk rakyat tanpa mengira apapun kaum yang meminta pertolongan.

Bangunlah rakyat Malaysia! Jangan biarkan tragedi Adib berulang! Ini negara kita, ini tanah air kita yang kita bangunkan bersama atas dasar toleransi antara kaum sejak merdeka.

Jangan biarkan semua itu berkecai akibat sikap cauvinis segelintir ahli politik.

Apa sudah jadi dengan rakyat Malaysia sehingga ada yang mempersendakan kematian Adib dengan komen tidak masuk akal.

Tragedi Adib memberi pengajaran kepada semua, jangan semaikan kebencian antara kita, jangan gunakan kekerasan untuk menyelesaikan masalah dan jangan membuat kenyataan bodoh tanpa mengetahui kedudukan sebenar.

Justeru tragedi Adib adalah kejutan untuk seluruh rakyat Malaysia bahawa negara ini dalam bahaya jika ada ahli politik cuba menjadi wira tidak bertempat kepada kaumnya. Dalam kes Allahyarham Adib kita tahu siapa mereka dan moral kelompok ini tiada bezanya dengan individu yang menyerang anggota bomba tersebut. - UTUSAN ONLINE