Peringatan itu diberikan Timbalan Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat Hannah Yeoh yang menegaskan sangat penting untuk rakyat negara ini membuang rasa takut dan curiga antara satu sama lain.

"Selagi kita tidak tahu bergaul dan menghormati orang lain, kita tidak akan mampu bersaing dengan negara lain dan membazir banyak masa dengan bergaduh mengenai warna kulit dan perkara yang kita tidak boleh ubah," katanya ketika merasmikan Karnival Pendidikan Komuniti Penglibatan Ibu Bapa Komuniti dan Swasta (PIBKS) di sini hari ini.

Yeoh berkata sekolah merupakan medan yang sesuai untuk memupuk semangat perpaduan dan guru berperanan menggalakkan pergaulan anak murid melalui aktiviti di dalam dan luar bilik darjah.

"Guru-guru mesti mendorong perpaduan dan pergaulan melangkaui batas yang kita sendiri bina, satu generasi ke generasi yang berlainan mempunyai ketakutan yang berbeza, kita mesti mendorong generasi yang akan datang bergaul untuk memupuk perpaduan," katanya.

Sempena sambutan Hari Kebangsaan pada 31 Ogos ini, Yeoh berharap rakyat tidak mengambil sikap sambil lewa semangat perpaduan yang dimiliki negara hari ini.

"Kita mesti pertahankan semangat perpaduan ini bukan untuk generasi kita sahaja tapi juga untuk anak-anak kita nanti.

"Kita lihat di negara lain jika perpaduan itu tidak ada, kekacauan akan berlaku dan yang menjadi mangsa juga termasuk kanak-kanak apabila negara tidak aman," katanya. - BERNAMA