Walaupun dibebani kerugian, namun Pensyarah Fakulti Ekonomi dan Muamalat Universiti Sains Islam Malaysia (USIM), Dr. Nuradli Ridzwan Shah Mohd. Dali beranggapan nilai Malaysia Airlines sebagai syarikat penerbangan nasional amat tinggi, cuma perlu diperkukuhkan dengan strategi pengurusan lebih mantap.

Jelas beliau, Malaysia Airlines perlu memberi tumpuan kepada strategi terbaik bagi meningkatkan pendapatan, bukannya dengan cara perakaunan kreatif seperti menjual aset yang dilihat bersifat sementara sahaja.

“Pada pendapat saya, Malaysia Airlines mempunyai dua cara untuk memacu pendapatan. Satunya dengan menaikkan harga tiket tetapi agak mustahil disebabkan persaingan yang semakin tinggi. Jadi, apa yang boleh dilakukan adalah cuba meningkatkan jualan tiket.

“Namun perkara ini perlu disusuli dengan pasukan pe­ngurusan terbaik yang mampu melonjakkan kembali moral pekerja mereka sekali gus tidak mustahil dapat memulihkan semula Malaysia Airlines menjadi antara syarikat penerbangan terbaik dunia,” katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia di sini hari ini.

Pengurus Pembangunan Perniagaan Putra Business School (PBS), Prof. Madya Dr. Ahmed Razman Abdul Latiff pula berpendapat Malaysia Airlines mungkin boleh mengikut jejak Proton Holdings Berhad (Proton) yang melaksanakan model kerjasama ekuiti dengan pelabur tempatan atau asing.

Menurut Ahmed Razman, kerjasama tersebut mampu membuka peluang buat Malaysia Airlines berdaya saing dan meneroka pasaran baharu sekali gus mewujudkan kelestarian perniagaan.

“Selepas melaksanakan kerjasama, kita dapat lihat Proton sudah mula menunjukkan peningkatan prestasi dari segi jumlah jualan dan kewangan. Tidak mustahil model yang sama boleh diguna pakai Malaysia Airlines.

“Untuk memulihkan syarikat kadangkala memerlukan bantuan daripada pemegang saham, bukan sahaja dari segi bantuan kewangan tetapi juga bantuan jaringan industri, pasukan profesional, peluang masuk ke pasaran baharu dan pertukaran serta kemas kini teknologi terkini.

“Semua itu boleh dilakukan jika Malaysia Airlines memperoleh rakan kongsi yang mempunyai kemampuan untuk melakukan sedemikian rupa. Namun syaratnya, rakan kongsi tersebut mungkin mahu me­lantik Ketua Pegawai Eksekutif daripada syarikat mereka yang lebih selesa untuk bekerjasama,” ujar beliau.

Dalam pada itu, Pensyarah Pusat Pengajian Ekonomi, Kewangan dan Perbankan, Universiti Utara Malaysia (UUM), Prof. Madya Dr. Irwan Shah Zainal Abidin pula melihat proses penjualan syarikat penerbangan itu sepatutnya menjadi jalan terakhir sekiranya segala usaha memulihkan tidak kesampaian.

Katanya, Malaysia Airlines mungkin memerlukan satu lagi pelan rasionalisasi terbaharu yang lebih menyeluruh bagi mengenal pasti semua pengurusan kos syarikat berkenaan.