Pengarah Jakoa Kelantan/Terengganu, Hashim Alang Abdul Hamid berkata, kerja membaik pulih rumah itu akan dilakukan dalam masa terdekat ini disamping membina kemudahan asas lain.

Bagaimanapun katanya, perkara itu bergantung kepada peruntukan dan permohonannya yang akan dihantar ke ibu pejabat Jakoa terlebih dahulu.

“Kita mengakui memang terdapat sebahagian besar rumah PBR Orang Asli suku kaum Bateq kampung itu mengalami kerosakan dan wajar dibaik pulih.

“Selain itu terdapat juga lima rumah kayu dan 12 rumah buluh dibina sendiri penduduk juga perlu diambil perhatian,” katanya ketika dihubungi di sini hari ini.

Hashim Alang berkata, pihaknya juga merancang untuk membangunkan bidang ekonomi termasuk tanaman kontan dan ternakan untuk pendapatan Orang Asli di kampung terbabit.

Katanya, perkara itu perlu diuruskan secara lebih tersusun sebelum dilaksanakan bagi mengelak daripada kegagalan mendapat hasil.

“Kita akan menumpukan program gotong-royong membersihkan rumah dan Kampung Kuala Koh dahulu yang akan diadakan pada 18 Julai ini.

“Ketika ini sebahagian besar penduduk masih tinggal di Pusat Pemindahan Sementara (PPS) Etnobotani dan mereka belum mendapat kebenaran daripada Jabatan Kesihatan untuk pulang semula ke kampung,” katanya.

Bermula semalam, kawasan perkampungan Orang Asli suku kaum Bateq di Kampung Kuala Koh, Pos Lebir di sini telah diisytihar bebas daripada zon merah.

Jabatan Kesihatan mengesahkan Kampung Kuala Koh sudah diisytiharkan selamat daripada jangkitan penyakit demam campak selepas berada dalam zon merah selama 26 hari. - UTUSAN ONLINE