Proses itu dilakukan dengan kerjasama Percetakan Nasional Malaysia Berhad (PNMB) yang dimulakan awal tahun ini.

Pengarah JAIP, Datuk Syed Ahmad Fuad Syed Tahar berkata, kini penyimpanan data-data atau rekod lama perkahwinan perceraian dan rujuk masyarakat Islam negeri ini dapat disimpan dalam satu pangkalan data setelah rekod- rekod tersebut dibuat pengimbasan.

Beliau berkata, perkara yang dibuat pengimejan digital merangkumi rekod perkahwinan, perceraian dan rujuk orang Islam daerah Temerloh dan Kuantan bermula 1920-an sehingga 2004 melibatkan Buku Daftar Perkahwinan, Sijil Nikah, Surat Perakuan Nikah, Surat Perakuan Perceraian dan Surat Perakuan Rujuk.

"Jika sebelum ini.pemohon perlu menunggu sehingga dua minggu bagi mendapatkan salinan sijil nikah atau cerai mereka, tempoh itu dapat dipendekkan kepada kurang daripada 24 jam dan sudah pasti ia dapat memberikan perkhidmatan lebih efisien kepada pelanggan kita.

"Selain itu, tujuan utama kita memperkenalkan proses pengimejan digital ini adalah bagi memastikan semua rekod perkahwinan, perceraian dan rujuk dapat diselamatkan daripada mengalami kerosakan memandangkan kalau ikut kaedah (penyimpanan rekod) lama, kita simpan dalam buku daftar yang mempunyai risiko dimakan anai-anai atau terkoyak atau butiran (tulisan) tidak jelas akibat pudar," katanya.

Beliau berkata demikian dalam sidang akhbar selepas sesi taklimat Proses Pengimejan Digital Sijil Nikah, Cerai dan Rujuk di Dewan Utama Pejabat Agama Islam Daerah di sini hari ini.

Syed Ahmad Fuad berkata, buat masa ini proses pengimejan digital itu sudah siap di peringkat Pejabat Agama Islam Daerah Temerloh awal Ogos lalu dan proses berkenaan sedang dilakukan di daerah ini sebelum diperluaskan ke semua pejabat agama Islam daerah lain.

Katanya, JAIP berharap proses pengimejan digital itu siap sepenuhnya menjelang hujung tahun depan bagi memudahkan semua pihak yang ingin mendapatkan salinan sijil mereka.

"Kita mulakan proses ini secara berperingkat dan di Temerloh sudah selesai. Kini pihak PNMB dengan JAIP sedang mengemas kini data berkaitan sijil nikah, cerai dan rujuk bagi daerah Kuantan.

"Pemilihan (daerah) Temerloh dan Kuantan dibuat memandangkan kedua daerah ini paling banyak rekod perkahwinan, perceraian dan kes rujuk," ujarnya. - UTUSAN ONLINE