Jabatan itu membuat penafian ekoran laporan portal The Malaysian Insight bahawa berlaku timbunan kes rayuan akibat ketiadaan Ketua Hakim Syarie Negeri.

Menurut Ketua Pendaftar Jabatan itu dalam kenyataan hari ini, portal tersebut menerbitkan laporan tanpa merujuk kepada pihak jabatan terlebih dahulu.

"Sehingga kini, terdapat hanya enam kes rayuan yang telah sedia untuk dijadualkan di hadapan Hakim-hakim Mahkamah Rayuan Syariah Negeri yang baru sahaja selesai di peringkat pengurusan kes.

"Terdapat satu kes rayuan yang masih dalam prosiding di hadapan Hakim-Hakim Rayuan yang telah dijadualkan pada 22 Ogos 2019.

"Oleh itu, adalah tidak benar sama sekali dakwaan bahawa pada masa ini Mahkamah Rayuan Syariah Sabah sedang bergelut dengan timbunan kes atas ketiadaan Ketua Hakim Syarie Negeri," menurut Ketua Pendaftar Jabatan itu.

Dalam pada itu, Ketua Pendaftar Jabatan itu memaklumkan, pelantikan Hakim-hakim Mahkamah Rayuan Syariah Sabah telah dibuat dan tempoh pelatikan mereka masih berkuat kuasa.

"Penjadualan kes rayuan masih boleh dibuat kerana bilangan Hakim-Hakim Rayuan yang mempunyai tauliah perlantikan adalah mencukupi. Pelantikan Ketua Hakim Syarie Jabatan Kehakiman Syariah Malaysia sebagai Pengerusi sidang Mahkamah Rayuan Syariah Negeri menurut kehendak Seksyen 19(3) Enakmen Mahkamah Syariah Sabah 2004 adalah juga masih berkuatkuasa," jelasnya.

Terdahulu The Malaysian Insight mendakwa Mahkamah Syariah Sabah bergelut dengan timbunan kes rayuan kerana tiada Ketua Hakim Syariah lebih tiga bulan.

Maklumat dipercayai diperoleh daripada Peguam Syariah negeri itu turut memberitahu bahawa kerajaan negeri sudahpun melantik ketua hakim baharu tetapi masih belum bertugas kerana belum pindah. - UTUSAN ONLINE