Presidennya, Datuk Syed Mohammad Faiz Azemmant berkata, ketegasan Perdana Menteri berhubung isu Zakir yang hangat diperkatakan ketika ini sewajarnya dihormati semua pihak khususnya pimpinan Pakatan Harapan (PH).

"Isu membabitkan Zakir sewajarnya ditangani dengan baik dan berdasarkan kepada hujah dan bukannya berpandukan sentimen.

"Tidak salah isu ini dibincangkan tetapi biarlah keputusan yang dibuat adil, tambahan lagi tiada ancaman atau perkara tidak diingini berlaku sepanjang Zakir berada di negara ini," katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

Awal bulan lalu, Dr. Mahathir dilaporkan berkata, kerajaan tidak akan menghantar pulang penceramah bebas itu sekiranya beliau tidak membuat sebarang masalah.

Perdana Menteri dilaporkan berkata, Zakir juga tidak akan dihantar pulang kerana sudah diberikan taraf penduduk tetap negara ini.

Khamis lalu, Mahathir menegaskan bahawa beliau tetap dengan pendiriannya bahawa Zakir tidak akan dihantar pulang ke India.

Syed Mohammad berkata, PAKP berharap Zakir akan terus berdakwah untuk memperkukuhkan kedudukan Islam di negara ini.

"Usaha Zakir itu tidak seharusnya menjadi pertikaian selagi menggunakan pendekatan yang berhemah dan tidak melanggar undang-undang negara," katanya. - UTUSAN ONLINE