Asalnya, bilangan mereka kurang 50 peratus, namun disebabkan peluang di depan mata yang tersedia, kini 90 peratus ruang niaga di pasar borong dikuasai warga asing dari Bangladesh, Nepal, Myan­mar dan etnik Rohingya.

Pihak berkuasa menyedari situasi itu dan serbuan demi serbuan sudah dilakukan. Operasi berkala pun sudah.

Kompaun, penalti serta sitaan setiap masa dilakukan oleh Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP), Jabatan Imigresen serta pihak berkuasa tempatan (PBT).

Namun, pasar borong terlibat terus dikuasai warga asing itu.

Cukup jelas Jabatan Imigresen tegas dalam amarannya dengan tidak melepaskan majikan yang menggaji pekerja asing yang tidak memiliki Pas Lawatan Kerja Sementara (PLKS) yang sah atau pendatang tanpa izin (PATI) namun tindakan itu boleh diibaratkan mencurah air ke daun keladi.

Begitu juga dengan KPDNHEP dan PBT yang bukan sahaja bertindak mengawal kenaikan harga barangan semata-mata, malah mereka juga menubuhkan unit khas bagi memantau aktiviti perniagaan yang menyalahi undang-undang melibatkan warga asing ini.

Mungkin hanya tindakan secara menyeluruh melibatkan agensi berkaitan dapat membendung perkara itu. Pihak terlibat juga patut mendapatkan maklumat daripada orang awam dan bertindak segera terhadap warga asing berkenaan.

Peniaga yang ditahan kerana bersekongkol dengan warga asing itu juga wajar disenarai hitam dalam tempoh tertentu dan syarat permohonan lesen diperketatkan lagi.

Yang pasti, hapuskan juga aktiviti suapan di ‘lorong belakang’ yang dipercayai menjadi punca dominasi peniaga warga asing di pasar-pasar borong.